NILAI, 5 Mac (Bernama) -- Pelajar Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Muhammad Hanif Zakaria mencipta sejarah bagi universiti itu apabila terpilih menjadi imam solat tarawih di Masjid Manukau Islamic Youth Centre di Auckland, New Zealand bermula 2 hingga 26 Mac ini.
Muhammad Hanif, 24, yang berlepas ke New Zealand pada 26 Feb lepas, menyifatkan pemilihan sebagai imam di masjid itu satu penghormatan buat dirinya berikutan saingan hebat pada sesi temuduga sebelum ini.
“Saya sangat bersyukur. Ini adalah peluang keemasan buat saya, mungkin sekali seumur hidup,” katanya ketika dalam satu kenyataan dikeluarkan USIM di sini.
Sepanjang berada di New Zealand, pelajar pengajian Program Qiraat itu turut mengambil peluang mengajar al-Quran kepada jemaah setempat, yang secara tidak langsung membantu beliau memastikan hafazannya lancar bagi memimpin solat dengan sempurna.
Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu berkata tanggungjawab tersebut merupakan pengalaman pertama beliau menjadi imam di luar negara yang dianggap cabaran berharga.
“Sebagai wakil pertama USIM berkhidmat di New Zealand, saya berharap ini mampu menjadi perintis dan sebagai pembuka jalan kepada pelajar lain pada masa akan datang.
“Semoga selepas ini lebih ramai pelajar USIM dapat berkhidmat di sini dan kerjasama antara USIM dan masjid di New Zealand dapat diteruskan,” katanya.
Beliau berkata pengalaman itu juga membuktikan ilmu al-Quran mampu membawa kejayaan tanpa sempadan, selain menjadi duta kecil USIM dalam menyebarkan syiar Islam di bumi asing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial