AM

Topik AI Perlu Diintergasi Dalam Kurikulum Pendidikan Peringkat Rendah Hingga Tinggi

06/03/2025 05:42 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Kerajaan perlu mengintegrasikan topik kecerdasan buatan (AI) dan sains data ke dalam kurikulum pendidikan di peringkat rendah sehingga pendidikan tinggi, untuk melatih rakyat agar mahir dengan teknologi baharu itu.

Senator Datuk Nelson W Angang berkata langkah itu antara strategi utama yang perlu diberi tumpuan dalam sektor pendidikan pada masa ini.

“Latihan semula dan menambah kemahiran memberi peluang kepada tenaga kerja untuk mempelajari kemahiran baharu berkaitan dengan teknologi AI, seperti pengaturcaraan analisis data dan celik digital,” katanya ketika sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata budaya pembelajaran berterusan perlu digalakkan supaya rakyat bermotivasi untuk mengemas kini kemahiran secara berkala sepanjang kerjaya mereka.

Nelson turut mencadangkan supaya kerajaan meningkatkan kerjasama antara pihak akademia dan industri untuk menggalakkan penggunaan AI secara bertanggungjawab dalam masa sama menangani cabaran tenaga kerja mahir.

Beliau berkata kesedaran awam juga perlu ditingkatkan berhubung kesan AI terhadap masyarakat, ekonomi dan pelbagai industri melalui seminar, forum awam dan kempen maklumat.

Dalam pada itu, Senator Datuk Rosni Sohar mencadangkan kepada Menteri Pendidikan agar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diperkenalkan di peringkat sekolah rendah melalui silibus atau kegiatan luar bilik darjah.

“Para guru, terutamanya kaunselor di sekolah, yang selama ini menjadi agen penerangan hala tuju murid selepas tamat persekolahan, perlu diberikan latihan dengan lebih mendalam mengenai peluang yang ditawarkan TVET, agar mereka dapat menyampaikan maklumat ini dengan lebih berkesan,” katanya. 

Rosni turut mencadangkan agar Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis TVET Negara Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, untuk mengadakan kempen kesedaran yang lebih menyeluruh mengenai kerjaya TVET, dengan melaksanakan inisiatif yang lebih rancak, baik secara fizikal seperti karnival, media sosial, serta saluran digital.

Persidangan Dewan Negara bersambung pada Isnin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan