AM

Tindakan Tegas Terhadap Isu 3R Perlu Dipertingkat - Menteri Perpaduan

07/03/2025 02:05 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan terhadap individu yang menyentuh isu 3R (Kaum, Agama dan Raja) perlu dipertingkatkan oleh agensi berkaitan bagi memastikan keharmonian negara terus terpelihara.

Beliau menjelaskan bahawa kuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang mencetuskan isu sensitif itu terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

"Kementerian dan agensi di atas adalah bertanggungjawab dalam mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang mencetuskan isu 3R," katanya dalam hantaran di laman X.

Menjelaskan peranan Kementerian Perpaduan Negara dalam menangani isu itu, Aaron berkata kementerian fokus kepada usaha menerusi pendekatan reformatif dan intervensi, termasuk menjalankan pemantauan melalui sistem eSepakat yang merupakan mekanisme pengurusan isu perpaduan untuk disalurkan kepada agensi berkaitan.

Selain itu, beliau berkata kementerian turut menyediakan perkhidmatan mediasi melalui 571 orang Medicator Komuniti yang berperanan membantu meredakan konflik dan menawarkan alternatif penyelesaian pertikaian melalui Pusat Mediasi Komuniti, tanpa perlu melalui proses perundangan. 

Aaron berkata Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan yang terdiri daripada 12 kementerian dan agensi, membolehkan langkah susulan diambil dengan segera, manakala Dashboard Analitik Perpaduan membolehkan kementerian mengenal pasti kawasan panas (hotspot) untuk diberikan fokus melalui program intervensi, selain melaksanakan program dan kempen yang boleh menyatupadukan rakyat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan