AM

Inap Desa N.Sembilan Perlu Peruntukan RM3 Juta

13/03/2025 05:35 PM

PORT DICKSON, 13 Mac (Bernama) -- Persatuan Kampungstay dan Homestay Negeri Sembilan memerlukan peruntukan RM3 juta bagi menaik taraf serta membantu pengusaha inap desa menarik pelancong ke negeri ini.

Pengerusinya Mistam Taib berkata sembilan inap desa di negeri ini memerlukan bantuan kewangan dan sokongan promosi daripada kerajaan negeri serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) dan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 (TMNS2026).

"Peruntukan ini sangat diperlukan terutamanya bagi menaik taraf dewan dan membina dewan baharu supaya pelbagai aktiviti menarik dapat disediakan kepada pengunjung ke negeri ini.

"Pengusaha inap desa di negeri ini terdiri daripada Homestay Pachitan dan Homestay D'Pelandok Best  di Port Dickson, Homestay Pelegong di Labu (Seremban), Homestay Rawa di Lenggeng (Nilai), Homestay Lonek di Jempol, Homestay Gemas (Tampin) serta Homestay Sungai Buluh, D' Pasoh dan Klawang (Jelebu)," katanya kepada pemberita selepas sesi libat urus Tourism Malaysia bersama penggiat industri pelancongan bersempena TMM2026 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Shaharuddin Abu Sohot, Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia Datuk  Manoharan Periasamy serta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Nicole Tan Lee Koon.

Sementara itu, Nicole berkata kerajaan negeri sentiasa berusaha dan bekerjasama dengan MOTAC bagi menaik taraf serta merancakkan semula ekonomi inap desa yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Beliau berkata baru-baru ini, pihaknya telah membawa 500 pelancong dari China menginap di Homestay D'Pelandok Best di sini dan mereka sangat mengagumi gaya hidup di kampung dan menyertai pelbagai aktiviti menarik disediakan oleh pengusaha inap desa.

"Mereka dapat mencuba memasak masakan tradisional, bermain permainan tradisional dan paling menarik mereka diberi pengalaman suasana kenduri kahwin secara kampung… promosi inap desa ini perlu dipergiat lagi," katanya.

Dalam pada itu, Shaharuddin berkata Negeri Sembilan mempunyai pelbagai produk tempatan yang menarik dan berpotensi untuk diketengahkan bagi merancakkan kempen TMM2026 dan TMNS2026.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan