AM

PM Lawat Bazar Ramadan Seksyen 2, Nasihat Peniaga Jaga Harga Jualan, Kebersihan

13/03/2025 08:49 PM

SHAH ALAM, 13 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa melawat peniaga dan beramah mesra bersama pengunjung Bazar Ramadan Seksyen 2 di sini. 

Anwar, yang diiringi Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi, tiba pada 6.15 petang serta meluangkan masa kira-kira 20 minit meninjau dan berbual dengan peniaga serta pengunjung di bazar itu yang menempatkan 42 gerai.

Beliau kemudian bergerak ke Dewan Raja Muda Musa di Seksyen 7 bagi menghadiri Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Pimpinan Masyarakat Tempatan Negeri Selangor.

Sementara itu, peniaga otak-otak Baharudin Bahman, 49, berkata ketika berkunjung ke gerainya, Perdana Menteri sempat memberi nasihat supaya dia berniaga dengan berhemah serta mengawal harga jualan agar kebajikan pengguna dapat dijaga di samping menjana keuntungan ketika Ramadan. 

"Datuk Seri Anwar juga berpesan supaya mematuhi standard kebersihan yang telah ditetapkan kepada kami sebagai peniaga,” katanya yang mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana sudi melawat peniaga di bazar itu.

Peniaga kuih Nooramimi Rosdi, 40, pula menyifatkan lawatan tersebut sebagai bukti keprihatinan pemimpin nombor satu negara itu terhadap situasi rakyat di peringkat akar umbi khususnya golongan peniaga. 

"… tadi memang gementar tapi teruja sebab ini kali pertama jumpa Perdana Menteri dan saya terharu juga bila lihat dia datang dan sanggup luangkan masa sebentar untuk lihat kami di sini," katanya. 

Semasa lawatan itu, Perdana Menteri juga sempat meninjau reruai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor bagi menyaksikan pelaksanaan Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI). 

Pengarah KPDN Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey berkata tambah nilai Touch ‘n Go sebanyak RM20 ditawarkan kepada 6,000 pengguna yang hadir ke reruai kementerian itu di bazar tersebut hari ini selaras dengan aspirasi untuk merancakkan pendigitalan transaksi dalam kalangan peniaga. 

Sebelum ini, Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri berkata Anwar menyatakan hasrat untuk meninjau harga dan kualiti makanan di bazar Ramadan.

Perdana Menteri turut mengarahkan agar pemantauan harga makanan di bazar Ramadan dipertingkat bagi mengelakkan pihak tertentu mengambil kesempatan.

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan