EKONOMI

Pelaksanaan Sepenuhnya RCEP Berupaya Jadikan ASEAN Hab Pertumbuhan Serantau - Tengku Zafrul

09/01/2025 08:46 PM

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia akan memberi tumpuan kepada memanfaatkan perjanjian perdagangan terbesar di dunia iaitu Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang kini telah dikuatkuasakan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pelaksanaan sepenuhnya RCEP boleh menjadikan ASEAN sebagai hab pertumbuhan serantau.

Ini boleh menjadi tumpuan utama dalam kepimpinan Malaysia untuk ASEAN, kata beliau dalam ucapan penutupnya pada ASEAN Economic Opinion Leaders Conference: Outlook for 2025.

RCEP melibatkan 15 negara iaitu 10 negara anggota ASEAN membabitkan Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, dan lima lagi ialah Australia, China, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

Perjanjian perdagangan bebas (FTA) terbesar di dunia itu membentuk kira-kira 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global dan kira-kira satu pertiga daripada populasi dunia.

Ia mempunyai mekanisme untuk perdagangan bebas dalam kalangan negara yang mengambil bahagian dengan satu set peraturan dan prosedur untuk mengakses tarif keutamaan merentas negara.

Tengku Zafrul berkata Malaysia juga berhasrat untuk memacu perbincangan mengenai Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) ASEAN, yang dilancarkan pada 2023.

Menjelang 2030, ekonomi digital boleh menyumbang US$2 trilion kepada rantau ini, tetapi untuk ia menjadi kenyataan, Malaysia perlu membantu negara-negara ASEAN menyelaraskan dasar digital mereka, katanya.

Sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia juga akan mencadangkan satu deklarasi bersama mengenai kerjasama ekonomi ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada Mei 2025.

Deklarasi ini akan membuka jalan kepada hubungan ekonomi yang lebih erat dengan GCC, sebuah rantau yang mempunyai potensi ekonomi yang penting, kata Tengku Zafrul.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan