EKONOMI

Penganalisis Berbeza Pandangan Mengenai O&G Selepas PAO 2025-2027 Diumum

31/01/2025 05:01 PM

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Kalangan penganalisis berbeza pandangan mengenai unjuran sektor minyak dan gas (O&G) Malaysia selepas Prospek Aktiviti Petronas (PAO) 2025-2027 diumumkan, yang mengunjurkan pengurangan aktiviti huluan dan penekanan terhadap perkhidmatan penyelenggaraan.

Walaupun terdapat kebimbangan mengenai permintaan berkurangan dalam aktiviti penggerudian dan kapal sokongan luar pesisir (OSV), penganalisis menyaksikan peluang dalam subsektor tertentu seperti pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) serta perkhidmatan berkaitan penyelenggaraan.

RHB Investment Bank Bhd mengekalkan penarafan wajaran tinggi ke atas sektor ini sambil memaklumkan panduan aktiviti bagi 2025 yang lebih rendah adalah seiring dengan jangkaan memandangkan pengurangan perbelanjaan yang sedang dilaksanakan oleh syarikat minyak negara Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

Dalam nota penyelidikan hari ini, katanya penggiat FPSO dan penyelenggaraan mempunyai potensi tinggi berikutan penilaian yang menarik dan projek peningkatan kemudahan (FIP) yang berdaya tahan.

Menurut bank pelaburan itu pilihan utama dalam sektor itu termasuk Bumi Armada Bhd, Dayang Enterprise Holdings Bhd dan Yinson Holdings Bhd dengan tumpuan kepada syarikat yang dijangka menerima manfaat daripada kerja-kerja penyambungan dan pengoperasian (HUC) dan penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian (MCM).

Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) pula kekal optimis terhadap perkhidmatan penyelenggaraan huluan, dengan prospek yang lebih berhati-hati dalam aktiviti penggerudian dan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).

Walaupun permintaan OSV dijangka merosot, ia menyifatkan sekatan bekalan kapal sebagai peluang untuk syarikat seperti Dayang Enterprise dan Petra Energy Bhd.

Kenanga IB berkata faktor geopolitik yang lebih luas termasuk dasar penyahkawalseliaan pengeluaran minyak di tanah persekutuan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dijangka mendorong peningkatan pengeluaran minyak mentah AS meskipun secara beransur-ansur, memandangkan pengeluar kekal berpacukan pasaran.

“Selain itu, dasar Trump boleh mendorong Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) untuk mempercepat peningkatan pengeluaran walaupun ini mungkin diimbangi oleh pendirian yang lebih tegas terhadap Iran, yang boleh mengehadkan eksport minyak dan mengekalkan bekalan global,” katanya menerusi nota.

Sementara itu, Maybank Investment Bank Bhd menyuarakan pandangan yang lebih positif dalam sektor ini berbanding yang dijangkakan sebelum ini berikutan PAO menyarankan pengurangan perbelanjaan modal yang kurang ketara pada 2025.

Bank pelaburan itu memberi penekanan terhadap pemilihan saham terpilih, memfokuskan kepada pemain pertengahan dan FPSO, dengan pilihan utama termasuk Dialog dan Bumi Armada manakala jangkaan harga minyak untuk jangka panjang kekal tidak berubah pada US$70 setong bagi 2025.

Bagaimanapun Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) mengekalkan pendirian yang lebih neutral.

Walaupun penggiat MCM dan HUC dijangka meraih manfaat daripada aktiviti yang lebih kukuh, HLIB berkata beberapa subsektor terutama pemilikan OSV dan pelantar penggerudian dijangka berdepan paras aktiviti yang rendah pada 2025.

Bagaimanapun, mereka berpandangan bahawa pengumuman PAO sebagai langkah ke arah memberikan kejelasan terhadap prospek sektor ini dan meredakan kebimbangan mengenai pengurangan perbelanjaan modal oleh Petronas.

"Dalam hal ini, kami berpandangan bahawa penjualan besar-besaran ke atas pemain perkhidmatan dan peralatan minyak tempatan berikutan isu Petronas-Petros mungkin berlebihan terutama dalam kaunter yang mempunyai prospek pendapatan stabil pada 2025 seperti Dayang Enterprise," katanya.

Antara saham yang disyorkan HLIB termasuk Dialog Group Bhd dan Wasco Bhd bagi pelabur yang mencari pendapatan yang lebih berdaya tahan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan