EKONOMI

Kerajaan Sentiasa Kenal Pasti Ikhtiar Baharu Pastikan Malaysia Destinasi Pelaburan - PM Anwar

13/02/2025 12:54 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Kerajaan sentiasa mengenal pasti ikhtiar baharu untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan menarik dan berdaya saing, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata antara ikhtiar yang menarik minat pelabur ialah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang mendapat sambutan sangat baik bukan sahaja dari Singapura malah juga negara luar. 

“Kemudian, perancangan kita dengan Thailand supaya memastikan negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu bersama dengan empat wilayah selatan Thailand dibangunkan.

“Kita ada dua mesyuarat, dan 18 Februari ini saya ada satu pertemuan untuk merangka supaya pertumbuhan (di negeri dan wilayah) itu juga berlaku,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Khamis.

Beliau berkata demikian bagi soalan tambahan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengenai usaha dan insentif kerajaan dalam meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik dan berdaya saing.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata inisiatif bersama Thailand itu tentutnya berbeza daripada JS-SEZ.

Beliau berkata tumpuan pelaburan di Sarawak pula adalah hab tenaga untuk rantau ASEAN.

“Seperti saya sebut di Parlimen minggu lalu, antara strategi Malaysia ialah kita masuk dalam kerangka ASEAN dengan menjadikan Malaysia antara pusat untuk Grid Tenaga ASEAN meliputi Vietnam, Laos, Kemboja, Thailand, Malaysia, Singapura sampai ke Indonesia dan Filipina. 

“...dari Sarawak itu disambungkan ke Sabah, ke Kalimantan (Indonesia) dan Filipina,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan