EKONOMI

Ekonomi Malaysia Berkembang 5.1 Peratus Pada 2024, Sejajar Dengan Sasaran Kerajaan

14/02/2025 01:02 PM

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.1 peratus pada 2024 daripada 3.6 peratus pada 2023, sejajar dengan sasaran kerajaan antara 4.8 peratus hingga 5.3 peratus tahun ke tahun.

Dalam kenyataan pada Jumaat, Bank Negara Malaysia (BNM) menjelaskan pertumbuhan itu didorong oleh permintaan dalam negara yang terus berkembang dan pemulihan eksport.

Di dalam negara, pertumbuhan didorong terutamanya oleh perbelanjaan isi rumah yang lebih mantap, mencerminkan keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan, langkah dasar untuk menyokong isi rumah dan kedudukan kewangan isi rumah yang kukuh, tambah bank pusat.

“Selain itu, kelulusan pelaburan yang mantap serta projek berbilang tahun yang terus dilaksanakan oleh sektor awam dan swasta, termasuk inisiatif pemangkin di bawah pelan induk nasional (iaitu Pelan Induk Perindustrian Baharu, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Strategi Semikonduktor Nasional), memberikan dorongan selanjutnya kepada pertumbuhan pelaburan,” jelas BNM.

Dari segi faktor luaran, eksport pulih berikutan pertumbuhan global yang stabil, peningkatan kitaran teknologi yang berterusan serta ketibaan dan perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi.

Keadaan itu memberikan sokongan kepada akaun semasa, yang seterusnya menghasilkan lebihan sebanyak 1.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2024 (1.5 peratus pada 2023), tambah BNM.

BNM menjelaskan bagi suku keempat 2024, KDNK Malaysia berkembang sebanyak 5.0 peratus (suku ketiga 2024: 5.4 peratus) didorong terutamanya oleh permintaan dalam negara.

Bank pusat memaklumkan bahawa aktiviti pelaburan yang kukuh telah disokong oleh pelaksanaan berterusan projek baharu dan projek sedia ada.

“Perbelanjaan isi rumah terus mampan berikutan keadaan pasaran pekerja yang positif dan sokongan dasar yang berterusan.

“Dari segi sektor luaran, pertumbuhan eksport barangan dan perkhidmatan terus berkembang manakala pertumbuhan import modal dan import perantaraan menjadi sederhana,” menurut BNM.

Bank pusat menjelaskan dari segi penawaran, pertumbuhan dipacu terutamanya oleh pengembangan sektor perkhidmatan, dengan peningkatan sokongan daripada subsektor berkaitan pengguna dan berkaitan perniagaan.

Sektor perkilangan disokong oleh kelompok elektrik dan elektronik (E&E) dan kelompok berkaitan sumber, manakala sektor pembinaan terus mencatatkan pertumbuhan dua digit dengan aktiviti yang mantap dalam subsektor kediaman, bukan kediaman dan pertukangan khas, tambahnya.

BNM memaklumkan bagaimanapun, pertumbuhan dipengaruhi oleh penguncupan dalam sektor komoditi berikutan pengeluaran kelapa sawit yang lebih rendah serta pengeluaran minyak yang terus menurun.

Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, pertumbuhan berkurangan sebanyak 1.1 peratus (suku ketiga 2024: +1.9 peratus), tambah bank pusat.

Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata pada masa hadapan, meskipun persekitaran global yang mencabar, pertumbuhan ekonomi Malaysia akan didorong oleh perkembangan yang mantap dalam aktiviti pelaburan, perbelanjaan isi rumah yang berterusan dan pengembangan dalam eksport, dengan sokongan asas ekonomi Malaysia yang teguh.

Menurut BNM di peringkat domestik, aktiviti pelaburan akan didorong oleh kemajuan yang menggalakkan bagi projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam serta disokong selanjutnya oleh pelaksanaan pelaburan yang diluluskan.

Perbelanjaan isi rumah akan mendapat manfaat daripada sokongan berterusan daripada pertumbuhan guna tenaga dan upah serta langkah dasar oleh kerajaan, jelasnya.

“Langkah ini termasuk semakan kenaikan gaji minimum dan gaji penjawat awam,” tambah bank pusat.

Menurut BNM, dari segi faktor luaran, peningkatan kitaran teknologi global yang berterusan, permintaan yang terus kukuh dalam barangan bukan elektrik dan elektronik serta perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi dijangka meningkatkan eksport.

Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan, jelasnya.

Bank pusat memaklumkan risiko itu termasuk kelembapan ekonomi rakan-rakan dagangan utama berikutan risiko sekatan perdagangan dan pelaburan yang ketara serta pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan.

Bagaimanapun, pertumbuhan berpotensi menjadi lebih tinggi termasuk berpunca daripada limpahan yang lebih besar daripada peningkatan kitaran teknologi, aktiviti pelancongan yang lebih giat serta pelaksanaan projek pelaburan yang lebih pantas, menurut BNM.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan