KUCHING, 27 Jan (Bernama) -- Bank Rakyat memperuntukkan sumbangan RM100,000 kepada 1,000 pelajar dari 45 buah sekolah di negeri ini melalui program Jangkauan Komuniti MADANI Bank Rakyat: Kembali Ke Sekolah yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.
Penyerahan sumbangan itu disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick pada majlis yang diadakan di Jabatan Pendidikan negeri di sini hari ini.
Ewon dalam ucapannya menyatakan sokongan terhadap program berkenaan dan menggalakkan lebih banyak inisiatif kerjasama antara sektor awam, swasta dan masyarakat untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dalam memastikan tiada yang tercicir daripada menerima pendidikan berkualiti.
“Sehubungan itu, tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Lembaga Pengarah dan pengurusan Bank Rakyat atas pelaksanaan program ini yang mencerminkan komitmen tinggi Bank Rakyat dalam memberi sumbangan positif kepada masyarakat, termasuk di luar bandar,” katanya.
Bank Rakyat dalam kenyataan memaklumkan inisiatif ini memanfaatkan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan di sekitar daerah Kuching, Lundu, Bau dan Padawan bertujuan memberikan keceriaan kepada mereka sebelum sesi persekolahan baharu bermula.
Sebagai sebahagian daripada usaha kebajikan, Bank Rakyat turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Hajah Norkiah di sini.
Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata inisiatif ini bukan sekadar menyalurkan bantuan material tetapi juga untuk mengangkat martabat golongan memerlukan dan memastikan tiada siapa yang ketinggalan dalam mencapai kejayaan.
“Bank Rakyat akan terus memastikan setiap program dan inisiatif kami memberi manfaat yang berpanjangan. Kami percaya bahawa dengan mendukung nilai-nilai tanggungjawab sosial ini, kami dapat membantu membina masyarakat yang lebih sejahtera dan berdaya saing,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah (Sektor Pembangunan Murid) Jabatan Pendidikan Sarawak Zamzaitul Akmal Hisham Ahmad menzahirkan penghargaan kepada Bank Rakyat atas keprihatinan membantu memperkasakan pendidikan pelajar kurang berkemampuan, khususnya di luar bandar.
“Inisiatif Bank Rakyat hari ini merupakan antara usaha yang signifikan, bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan ibu bapa dalam menyediakan keperluan anak-anak yang masih bersekolah, tetapi juga terhadap perkembangan pendidikan pelajar,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial