AM

Diskaun Tol Musim Perayaan Beri Kelegaan Kepada Pengguna

05/02/2025 06:15 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Diskaun tol 50 peratus semasa musim perayaan disambut baik oleh pengguna yang melihatnya sebagai cara efektif untuk membantu meringankan kos perjalanan dan mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Bagi seorang guru tuisyen Ariff Ahmad Azam, 40, bantuan kewangan ini amat dihargai dengan diskaun berkenaan amat membantu meringankan perbelanjaannya pulang ke Pasir Puteh, Kelantan.

"Walaupun bukan percuma, diskaun 50 peratus memang sangat membantu pengguna, terutama ketika perjalanan pergi dan balik semasa musim perayaan," katanya kepada Bernama hari ini.

Jurufoto bebas berasal dari Temerloh, Adam Abdullah Ashar, 32, percaya inisiatif itu akan menggalakkan perancangan perjalanan yang lebih baik dan membantu mengagihkan trafik dengan lebih sekata, berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya yang menawarkan pengecualian tol sepenuhnya sehingga menyebabkan kesesakan teruk di lebuh raya dengan pendekatan yang lebih seimbang ini membantu mengelakkan kesesakan.

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Williams Business Consultancy Sdn Bhd Dr Geoffrey Williams berkata pengecualian tol sepenuhnya boleh memberi tekanan kepada dana kerajaan, menjadikannya lebih sukar untuk menyokong program dan inisiatif kebajikan awam yang lain.

"Daripada mengecualikan sepenuhnya bayaran tol, penjimatan berkenaan boleh dialihkan kepada program-program bermanfaat lain seperti bantuan kewangan, geran dan pembangunan infrastruktur," katanya.

Semalam, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata diskaun tol 50 peratus akan dilaksanakan sepanjang musim perayaan tahun ini sebagai mekanisme menggantikan tol percuma yang diberikan kerajaan sebelum ini.

Beliau berkata langkah ini akan mengurangkan kos yang ditanggung kerajaan dalam membayar pampasan kepada konsesi lebuh raya daripada RM160 juta kepada RM80 juta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan