AM

Kemajuan Teknologi Pacu Percetakan Digital Berkualiti Tinggi Pada Harga Berpatutan

05/02/2025 10:31 AM

Oleh Thivyamalini Ramalu

PUTRAJAYA, 5 Feb (Bernama) -- Industri percetakan, yang terus kekal penting dalam komunikasi selama berabad-abad lamanya, kini berkembang selari dengan kepesatan kemajuan teknologi.

Walaupun kaedah percetakan tradisional telah digunakan hampir 600 tahun, penyelesaian digital yang baharu kini mula menguasai pasaran.

Pengurus Besar Printcheap Sdn Bhd Kaviraaj Tanaskuli berkata kemajuan terkini dalam teknologi percetakan digital membolehkan cetakan berkualiti tinggi yang dalam kemampuan, meskipun kos bagi setiap cetakan lebih tinggi dan pengeluaran lebih pantas, semuanya didorong oleh permintaan yang semakin meningkat.

“Kemajuan ini memudahkan syarikat menawarkan cetakan mengikut permintaan, memenuhi kehendak pelanggan secara spesifik sambil mengekalkan harga yang berpatutan.

“Lebih banyak percetakan yang disesuaikan dengan kehendak pelanggan kini boleh dilakukan berikutan kemajuan ini. Selain itu, ia membolehkan pengeluaran dalam kuantiti kecil dengan masa siap yang lebih cepat serta harga yang menarik. Ini amat berguna untuk banyak perniagaan,” katanya kepada Bernama.

Ditanya bagaimana kemajuan teknologi telah mengubah proses percetakan, beliau merujuk kepada inovasi seperti cetakan data berubah (VDP) sebagai pengubah keadaan.

VDP membolehkan penyepaduan elemen tempahan dengan lancar seperti kod bar, kod QR, penomboran baucar serta nama atau alamat yang diperibadikan, semuanya dilakukan menerusi percetakan berkelajuan tinggi tanpa gangguan.

“Di Printcheap.com.my, kami boleh memproses data berubah ini dalam tempoh masa beberapa minit sahaja. Ini boleh dilakukan kerana mesin cetak digital kini dilengkapi dengan perisian canggih yang memenuhi keperluan pasaran yang semakin berkembang.

“Terdapat juga aplikasi pihak ketiga seperti penyelesaian pengesahan kod QR yang membantu membina kepercayaan pengguna dengan membolehkan pengesahan, pertukaran maklumat dan interaksi yang membolehkan perniagaan mencipta bahan cetakan interaktif untuk produk dan perkhidmatan mereka. Perisian ini apabila disepadukan dengan teliti, ia mengubah dimensi dalam industri percetakan,” katanya.

Ketika digital menjadi alternatif yang semakin popular, kebanyakan pengguna beranggapan bahawa platform itu lebih mesra alam kerana mengurangkan penggunaan kertas dan dakwat.

Walau bagaimanapun, ramai yang tidak menyedari kos alam sekitar yang signifikan dikaitkan dengan infrastruktur digital, khususnya penggunaan tenaga yang diperlukan oleh pusat data bagi menyokong teknologi digital.

“Sebaliknya, industri percetakan semakin prihatin kepada penjagaan alam sekitar dengan mengguna pakai amalan percetakan mampan sejak beberapa tahun lepas. Kini, lebih banyak dakwat biodegradasi, kertas kitar semula dan proses percetakan neutral karbon digunakan,” katanya.

Mengenai trend semasa yang mempengaruhi industri percetakan, Kaviraaj berkata beliau mendapati rakyat Malaysia sering mahukan kerja percetakan yang pantas dan dilakukan pada saat-saat akhir, yang menyebabkan peningkatan dalam penyelesaian percetakan digital.

“Keputusan secara tiba-tiba sering diambil. Oleh itu, percetakan berdasarkan permintaan semakin meningkat. Rakyat Malaysia lebih gemar perkhidmatan percetakan yang cepat pada harga yang berpatutan untuk tempahan kecil. Itulah sebabnya penyelesaian percetakan digital semakin popular.

“Setiap hari kami menerima banyak pesanan dalam jumlah kecil dan segera di Printcheap.com.my. Kami benar-benar mencetak dan menyiapkan semua kerja akhir dalam masa dua jam untuk pelanggan kami. Hakikat bahawa pelanggan sanggup membayar caj untuk pesanan segera dan mengesyorkan kami kepada pelanggan lain menunjukkan betapa pentingnya kecepatan dan kemudahan pada masa kini,” katanya.

Ditanya bagaimana industri percetakan boleh kekal relevan sambil menerima pakai teknologi baharu, beliau menekankan bahawa industri percetakan sentiasa relevan sejak dari dahulu.

“Percetakan tradisional telah wujud hampir 600 tahun. Walaupun mesin telah berkembang dari segi kelajuan dan kecekapan, mekanisme percetakan masih sama. Kita perlu faham bahawa disebabkan had tertentu, percetakan tradisional akan semakin berkurangan dan percetakan digital moden akan mengambil alih pasaran dengan memenuhi keperluan pengguna. Namun, percetakan itu sendiri tetap akan kekal.

“Jadi, seperti mana kita telah menerima perubahan dan teknologi pada masa lepas, kita juga harus bersedia menerima kecerdasan buatan (AI), amalan lestari dan kemajuan lain. Mana-mana perniagaan, jika dapat bergerak mengikut masa serta bersedia menerima teknologi dan trend baharu, pasti akan kekal relevan,” katanya mengakhiri perbualan.

Menekankan kepentingan AI, Ketua Pegawai Operasi Sociolytics Sdn Bhd Shashi Muniandy berkongsi bahawa kuasa transformatif AI sedang mengubah industri di seluruh dunia dan Malaysia sedang memanfaatkan peluang ini untuk memacu perubahan.

“Untuk meredakan cabaran ini, penting untuk menggalakkan amalan ‘memanusiakan AI' dalam organisasi. Daripada melihat AI sebagai pengganti tenaga kerja manusia, majikan harus menggalakkan pekerja melihat AI sebagai alat yang boleh meningkatkan kerja harian mereka, membolehkan mereka menghasilkan keputusan yang lebih cekap dan inovatif.

“Organisasi perlu melabur dalam meningkatkan kemahiran pekerja dengan menyediakan latihan berkaitan AI yang membekalkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan untuk memanfaatkan teknologi ini secara berkesan,” katanya sambil menambah bahawa AI tidak akan menggantikan peranan manusia sepenuhnya, sekurang-kurangnya untuk beberapa tahun akan datang kerana teknologi ini masih memerlukan intervensi manusia untuk pembangunan, penambahbaikan dan pengurusan berterusan.

Pada asasnya, beliau berkata AI adalah alat yang menambah keupayaan manusia, seperti pembantu dengan ‘kemahiran luar biasa’ yang meningkatkan produktiviti dan keupayaan menyelesaikan masalah. Dengan menganggap AI sebagai rakan kerjasama dan bukannya pesaing, tenaga kerja dapat mengambil manfaatnya tanpa menjejaskan nilai manusia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan