AM

KESUMA Cadang Laksana Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja

05/02/2025 06:35 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berhasrat untuk melaksanakan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) bagi memastikan perlindungan 24 jam sehari dalam tujuh hari seminggu kepada pekerja yang layak semasa tempoh penggajian.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata secara prinsip, mesyuarat Kabinet telah bersetuju dengan cadangan pelaksanaan SKBBK manakala KESUMA melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh bagi mendapatkan maklum balas perkara itu.

“KESUMA cakna dengan perubahan landskap peralihan waktu kerja pada masa kini susulan peningkatan aturan kerja anjal atau aturan kerja fleksibel (FWA) oleh majikan di Malaysia, kesan daripada perkembangan digitalisasi. 

“Pelaksanaan SKBBK oleh Perkeso ini merupakan satu mekanisme perlindungan sosial dalam menangani cabaran risiko berkaitan kerja dan risiko di luar waktu kerja terutama mereka yang terlibat FWA. Ini kerana risiko kemalangan yang tidak berlaku di pejabat atau waktu kerja seperti kelaziman,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang ingin tahu mengenai pelaksanaan SKBBK untuk melindungi individu dan sejauh mana skim itu dapat menangani cabaran risiko berkaitan kerja serta di luar waktu kerja susulan peningkatan aturan kerja anjal oleh majikan di Malaysia.

Abdul Rahman berkata SKBBK meliputi kemalangan yang tidak berlaku dari dan dalam masa menjalankan pekerjaan dan tidak berkait secara langsung dengan penggajiannya. 

Beliau berkata skim yang dicadangkan itu akan meliputi kemalangan yang berlaku dalam Malaysia, di luar waktu kerja termasuk kemalangan dalam perjalanan yang tidak berkaitan pekerjaan.

“KESUMA menjangkakan rang undang-undang bagi skim ini dapat dibentangkan di Mesyuarat Parlimen pada tahun ini,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Wee mengenai kelebihan SKBBK berbanding skim sama yang dilaksanakan di negara lain seperti Jepun dan Australia, Abdul Rahman berkata terdapat beberapa faedah akan dibentuk di bawah skim itu antaranya perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, orang tanggungan, pengurusan mayat dan pemulihan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan