KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam keterangan seorang individu susulan penyebaran kandungan palsu di media sosial berkaitan kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan individu tersebut dipanggil untuk keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras semalam dengan sebuah telefon bimbit dan satu unit kad SIM turut disita bagi membantu siasatan.
“Kandungan tersebut dipercayai mengandungi maklumat palsu dan bersifat 3R (Kaum, Agama dan Institusi Diraja) dan dikhuatiri boleh mencetuskan kekeliruan awam, selain menjejaskan kelancaran proses siasatan pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.
Menurut MCMC kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
MCMC turut mengingatkan orang ramai agar memberi ruang kepada proses siasatan yang sedang dijalankan dan berhati-hati dengan sebarang kandungan spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan awam.
“Penyebaran maklumat yang belum disahkan bukan sahaja berisiko mengguris hati keluarga mangsa, malah bercanggah dengan nilai etika dan boleh mengganggu proses keadilan,” menurut suruhanjaya itu.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai lepas setelah ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.
Semalam, proses penggalian semula kubur pelajar tingkatan satu itu selesai dijalankan, susulan arahan dikeluarkan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang berpendapat terdapat keperluan untuk siasatan lanjut bagi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial