POLITIK

PKR Johor Muktamad Pelantikan Jawatan Utama MPN

10/08/2025 02:55 PM

JOHOR BAHRU, 10 Ogos (Bernama) -- Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor memuktamadkan pelantikan jawatan utama parti di peringkat negeri pada mesyuarat pertama bagi penggal 2025-2028 yang diadakan di Ibu Pejabat PKR Johor semalam.

Pengerusi PKR Johor Dr Zaliha Mustafa berkata mesyuarat itu dihadiri 26 Ketua Cabang, enam Ahli Parlimen, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ketua dan Timbalan Ketua AMK Negeri dan Wanita Negeri.

“MPN memuktamadkan jawatan utama termasuk pelantikan semula Saudara Md Ysahruddin Kusni sebagai Timbalan Pengerusi MPN, beliau adalah Ketua Cabang Bakri dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Naning.

“Selain itu, pelantikan Naib-Naib Pengerusi MPN turut dimuktamadkan iaitu Ketua Cabang Simpang Renggam yang juga bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, Ahli Parlimen Tebrau yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri Johor Jimmy Puah serta Ketua Cabang Segamat Shamala Vasudevan.

“Komposisi ini melengkapkan keterangkuman yang menggabungkan kepelbagaian pengalaman, profesionalisme dan gender, sekali gus akan mampu memperkasa hala tuju PKR Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaliha dalam pada itu berkata mesyuarat juga bersetuju untuk melantik Timbalan Pengerusi Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) Mohd Khuzzan Abu Bakar sebagai Setiausaha MPN, manakala Ketua Cabang Mersing Khairil Adanan yang akan menerajui Jawatankuasa Pilihan Raya Negeri (JPRN).

Menurut Zaliha, PKR Johor akan memastikan jentera sentiasa bersiap siaga dalam mendepani cabaran politik semasa dengan strategi yang tersusun, berpaksikan kepada agenda reformasi. 

Beliau turut menegaskan komitmen untuk mempererat dan memperkukuh kerjasama strategik bersama rakan-rakan komponen Pakatan Harapan demi memastikan kestabilan politik serta membawa semangat dan agenda Kerajaan MADANI di Negeri Johor.

“Dengan kesepaduan organisasi dan semangat kerja berpasukan yang mantap, PKR Johor mampu memainkan peranan yang signifikan dalam memperkukuh kedudukan parti di negeri ini, sekali gus menjadi wadah perjuangan yang kukuh dan membawa negeri Johor ke arah masa depan yang lebih progresif,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan