KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Situasi banjir di lima negeri menunjukkan perkembangan positif dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) turun mendadak petang ini.
Di KELANTAN, menurut Portal Info Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak 240 mangsa berada di tiga PPS di Tumpat dan Pasir Mas petang ini, berbanding 2,268 orang pagi tadi.
Dua PPS di Tumpat masih dihuni 197 orang daripada 79 keluarga, manakala 43 orang daripada 12 keluarga di satu PPS di Pasir Mas.
Di KEDAH, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 255 orang daripada 65 keluarga berbanding 610 orang daripada 172 keluarga, pagi tadi dengan kesemuanya berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gunung, Kota Setar.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata tiga PPS iaitu SK Simpang Tiga dan SK Alor Janggus, kedua-duanya di Kota Setar dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Indera Putera, Kubang Pasu telah ditutup.
PPS itu dibuka antara 29 dan 30 Nov lepas, katanya ditutup selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada pagi dan petang tadi.
Sementara itu, di JOHOR, jumlah mangsa banjir berkurangan susulan penutupan tiga PPS di Segamat dan dua di Tangkak hari ini, menjadikan mangsa yang masih terkesan bencana itu petang ini sebanyak 229 orang berbanding 408 orang, pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata lapan PPS masih beroperasi dengan tujuh daripadanya di Segamat manakala satu lagi di Batu Pahat.
Di PERAK, Sekretariat JPBN menerusi kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir petang ini berkurangan kepada 121 orang daripada 42 keluarga berbanding 131 orang pagi tadi, yang berada di Kinta, Perak Tengah dan Manjung.
Sebanyak 82 orang daripada 28 keluarga masih berlindung di dua PPS di Kinta, 34 orang daripada 11 keluarga di satu PPS di Perak Tengah manakala lima orang daripada tiga keluarga di satu PPS di Manjung.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan Perak Tengah dan Kinta dilanda ribut dan hujan pada malam ini.
Di MELAKA, Sekretariat JPBN negeri memaklumkan daerah Jasin masih terkesan banjir, namun jumlah mangsa petang ini berkurangan kepada 17 orang daripada lima keluarga berbanding 92 orang daripada 23 keluarga pagi tadi, dengan dua PPS masih beroperasi iaitu SK Parit Penghulu dan SK Seri Mendapat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial