AM

Kerajaan Tidak Benarkan Kenaikan Tarif Elektrik Yang Jejaskan Orang Ramai - PM Anwar

27/12/2024 04:07 PM

LANGKAWI, 27 Dis (Bernama) -- Kerajaan tidak membenarkan kenaikan tarif elektrik yang menjejaskan orang ramai, justeru meminta Tenaga Nasional Bhd (TNB) memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah menghubungi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berhubung perkara itu.

“Kita tidak benarkan kenaikan elektrik yang menjejaskan orang ramai. Kenaikan seperti mana yang dulu itu hanya melibatkan golongan atasan yang saya sebut maha kaya, atau pun industri yang mencatat keuntungan. Rakyat terbanyak tidak terkesan dari kenaikan elektrik, walaupun saya faham kos meningkat. 

“Walaupun kos meningkat, tidak boleh menjejaskan kedudukan majoriti rakyat. Ini dari segi dasar (kerajaan). Saya faham keperluan naik, tapi kenaikan tidak boleh melibatkan kedudukan kos kepada majoriti rakyat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Masjid Al-Hana, Kuah, di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Fadillah dan TNB akan memberikan penjelasan secara terperinci berhubung perkara itu.

TNB menerusi makluman kepada Bursa Malaysia semalam memaklumkan jadual tarif baharu dengan tarif asas 45.62 sen sekilowatt-jam (KwJ) bagi Semenanjung Malaysia di bawah RP4, dicadang dilaksanakan mulai 1 Julai depan, masih di peringkat cadangan.

Di bawah Tempoh Kawal Selia 3 (RP3) antara 2022 dan 2024, tarif asas ditetapkan pada 39.95 sen/kWj.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan