KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM57.97 juta kepada 2,730 usahawan India setakat 23 Dis, di bawah program skim pembiayaan SPUMI Goes Big dan TEKUN SPUMI.
Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk B. Anbumani berkata keseluruhan peruntukan program berkenaan tahun ini ialah RM60 juta dan masih terdapat baki kira-kira RM2.1 juta untuk digunakan sehingga akhir tahun.
“Ramai penerima berada dalam senarai menunggu dan TEKUN sedang giat mengenal pasti penerima yang layak untuk memastikan baki pembiayaan dapat disalurkan tahun ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Pembiayaan Tekun Nasional dan sesi turun padang bersama usahawan India, di sini hari ini.
Anbumani mewakili Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan Ramakrishnan.
Beliau berkata sesi tinjauan lapangan dan kaji selidik oleh TEKUN mendapati, program skim pembiayaan SPUMI Goes Big dan TEKUN SPUMI berjaya membantu usahawan India yang benar-benar memerlukan sokongan kewangan untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Anbumani berkata sesi turun padang hari ini merupakan satu lagi inisiatif yang akan digerakkan dari semasa ke semasa untuk terus memperkasakan usahawan India, selain membantu mereka menjana pendapatan yang lebih baik.
Dalam pada itu, beliau berkata Ramanan sedang melakukan beberapa perancangan strategik untuk menambah peruntukan berjumlah RM30 juta bagi tahun hadapan seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2025.
“Mungkin ada tambahan, namun kita perlu tunggu bagaimana peruntukan bagi tahun hadapan kerana Datuk Seri (R. Ramanan) akan mengadakan sesi perbincangan dengan pihak pengurusan TEKUN untuk memastikan jumlah belanjawan yang akan diperuntukkan, memandangkan RM30 juta ini tidak mencukupi.
“Saya boleh memberikan jaminan sudah pasti akan ada berita baik untuk program pembiayaan TEKUN untuk komuniti India pada tahun depan. Kalau kita lihat bagi tahun ini, untuk pertama kali dalam sejarah peruntukan sebanyak RM60 juta telah disalurkan kepada usahawan kaum India,” katanya.
Selain itu, beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk mempergiat lebih banyak inisiatif komuniti India pada tahun depan.
Pada tahun ini, KUSKOP melalui agensi di bawahnya telah melaksanakan beberapa program khas untuk komuniti India seperti Dana Khas Pemerkasaan Wanita India (PENN), Geran Khas untuk syarikat milikan India bersaiz kecil (I-BAP) dan Vanakam MADANI.
Turut diadakan Pembiayaan Usahawan India Bank Rakyat (BREIF-i), Program Latihan Keusahawanan India (EIP) dan Persidangan Koperasi Komuniti India pada 4 Okt dengan pemberian geran sehingga RM30,000 kepada koperasi masyarakat India yang hadir.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial