JENAYAH & MAHKAMAH

Ketua Polis Negara Fail Saman Fitnah Terhadap Papagomo

28/12/2024 03:58 PM

KUALA LUMPUR, 28 Dis (Bernama) -- Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain memfailkan notis tuntutan saman bernilai RM3 juta terhadap blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris atau "Papagomo" atas dakwaan memfitnah.

Peguam Raam Kumar yang mewakili Razarudin memaklumkan notis tuntutan saman berkenaan difailkan pada Khamis lepas (26 Dis) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerusi Tetuan K.B.Tan, Kumar & Partners.

Beliau berkata tuntutan saman itu dihantar kepada Wan Muhammad Azri petang semalam. 

Raam menyatakan anak guamnya menyaman blogger terbabit berhubung kenyataan fitnah yang melabelkan beliau sebagai pelacur banduan terhormat dan penjilat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi bagi fitnah lisan, ganti rugi fitnah bertulis, ganti rugi am, ganti rugi teruk atau teladan dan ganti rugi khas,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Raam berkata Razarudin turut menuntut perintah injunksi bagi menghalang kesemua defendan sama ada secara sendiri atau pekerja atau mana-mana pihak lain daripada mengeluarkan kenyataan dan kata-kata dianggap fitnah selain menerbitkan atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu.

Selain itu, Raam berkata Ketua Polis Negara juga menuntut defendan menarik balik kenyataan fitnah berkenaan atau memadamkan serta memusnahkan kesemua video, penerbitan dan mesej atau material yang merupakan fitnah oleh defendan. 

“Plaintif turut menuntut defendan membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataan fitnah berkenaan melalui semua akaun laman sosial dan media massa dan media dalam talian dengan kandungan permohonan maaf harus dipersetujui terlebih dahulu oleh plaintif,” katanya. 

Sementara itu, Razarudin ketika dihubungi mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut. 

Selasa lepas, media melaporkan kertas siasatan membabitkan blogger Papagomo berkaitan video tohmahan terhadap KPN dan PDRM sudah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara pada Jumaat. 

Pada 19 Dis lepas, Razarudin mengesahkan blogger terbabit diambil keterangan di Balai Polis Setapak berkaitan video berbaur fitnah dan mengaibkan KPN serta PDRM yang dimuat naik di YouTube.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan