KOTA KINABALU, 31 Dis (Bernama) -- Kerajaan Sabah komited untuk terus melaksanakan pembangunan dan mewujudkan peluang kemakmuran ekonomi bagi rakyat negeri itu pada 2025, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau yang berterima kasih kepada rakyat atas sokongan berterusan dan kepercayaan buat kerajaan negeri untuk memimpin, berkata sokongan berterusan daripada warga Sabah adalah penting untuk membawa kestabilan politik di negeri ini.
"Kerajaan negeri tetap komited dalam usaha ini agar kestabilan politik dapat dikekalkan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan berterusan untuk Sabah. Marilah kita bersatu dalam solidariti, mengutamakan perpaduan demi kestabilan politik di negeri tercinta ini.
“Marilah kita menuju ke tahun baharu dengan komitmen yang diperbaharui untuk meneruskan kejayaan dan objektif pembangunan kita. Tahun 2025 merupakan tahun untuk kita menjadi tegas dan bagi memacu matlamat kita demi kesejahteraan rakyat," katanya dalam perutusan Tahun Baharu di sini malam ini.
Sementara itu, Hajiji turut yakin bahawa usaha berterusan kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu air dan elektrik akan membuahkan hasil apabila projek, antaranya seperti empangan hidroelektrik di Ulu Padas, Tenom, beroperasi kelak.
"Kami telah membina 5,000 rumah di bawah inisiatif Rumah Mesra Sabah Maju Jaya untuk keluarga berpendapatan rendah di kesemua 73 kawasan undangan negeri dengan 3,000 rumah baharu akan dibina pada 2025 pada kos RM250 juta. Ini merupakan antara inisiatif untuk membasmi kemiskinan tegar di seluruh negeri," katanya.
Beliau berkata bagi 2025, kerajaan negeri akan melabur dalam modal insan menerusi peningkatan pembiayaan untuk biasiswa dan bantuan pelajar dengan peruntukan sebanyak RM127 juta yang memberi manfaat kepada lebih 10,000 pelajar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial