AM

TMP 2024: 8.4 Juta Pelancong Harian Kunjungi Perak Sehingga Nov - Saarani

01/01/2025 10:26 AM

IPOH, 1 Jan (Bernama) -- Sejumlah 8.4 juta pelancong harian direkodkan mengunjungi Perak sehingga November tahun lepas sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2024.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata data yang diperoleh hasil soal selidik Tourism Malaysia juga merekodkan sejumlah 627,292 pelancong antarabangsa melawat ke Perak dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun lepas.

Beliau berkata jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 135 peratus berbanding kempen TMP 2017.

“Ipoh dan Pulau Pangkor terus menjadi destinasi tumpuan utama, namun yang menarik perhatian ialah kejayaan luar biasa yang dicapai oleh daerah Larut, Matang dan Selama.

“Daerah Larut, Matang dan Selama mencatatkan 1,050,144 pelawat, menjadikannya daerah ketiga tertinggi menerima pelancong di Perak,” katanya ketika berucap sempena sambutan ambang tahun 2025 serta Finale Tahun Melawat Perak 2024 di Bulatan Sultan Azlan Shah di Meru Raya, malam tadi.

Saarani berkata pelbagai produk seperti Muzium Telegraf, Antong Coffee dan Trong Leisure Farm menjadi daya tarikan utama dan menyaksikan peningkatan pengunjung sebanyak 30 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Beliau berkata peningkatan tersebut, membuktikan bahawa sektor pelancongan bukan sahaja memberi manfaat kepada kawasan bandar, tetapi juga memberi limpahan ekonomi kepada kawasan luar bandar dan pinggir bandar yang kaya dengan keunikan dan warisan tersendiri.

“Sudah tentu kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa usaha dan kerjasama daripada pelbagai pihak sama ada daripada agensi kerajaan, pemain industri dan yang paling penting ialah rakyat Perak.

“Saudara dan saudari semua secara tidak langsung telah menjadi duta kecil pelancongan negeri. Setiap muat naik di media sosial, setiap gambar yang dikongsi dan setiap pengalaman positif yang anda sebarkan, semuanya telah membantu memperkenalkan Perak kepada dunia luar,” katanya.

Dalam pada itu, Saarani berkata kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM11.31 juta dalam Belanjawan Perak 2025 untuk pelbagai projek pembangunan pelancongan dan kebudayaan di seluruh negeri.

Beliau berkata sebanyak RM4 juta diperuntukkan untuk pembangunan kemudahan pelancongan, menaik taraf ikon pelancongan serta pembangunan infrastruktur luar bandar khususnya di kawasan yang menjadi tumpuan pelancong. 

“Ini termasuk usaha menaik taraf kawasan seperti Pangkor, Ipoh, Taiping dan Lenggong agar kekal sebagai tarikan utama pelancong,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan