KANGAR, 6 Jan (Bernama) -- Prosiding pendengaran permohonan untuk mendapatkan perintah injunksi bagi menghalang Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengadakan Kongres ke-61, ditangguhkan pada 7 Feb depan.
Permohonan itu difailkan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) selaku plantif pada Disember tahun lepas menerusi Tetuan Zamri Ibrahim & Co, dengan menamakan 20 defendan antaranya termasuk FAM, Presiden FAM Tan Sri Hamidin Mohd Amin, Naib Presiden FAM Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub dan Pesuruhjaya Sukan Malaysia.
Presiden PFA Zamri Ibrahim ketika dihubungi Bernama hari ini berkata prosiding pertama pendengaran permohonan itu di Mahkamah Tinggi di sini diadakan secara telesidang menerusi aplikasi Zoom dan Hakim Dr Arik Sanusi Yeop Johari menetapkan tarikh berkenaan untuk defendan memfailkan afidavit jawapan.
Menerusi notis permohonan yang dikongsikan kepada media, ia antara lain menyebut FAM selaku defendan pertama hingga defendan 19 atau wakil-wakilnya atau ejen-ejennya atau pegawai-pegawainya atau kakitangan-kakitangannya yang lain, dihalang daripada menjalankan proses pencalonan atau menerima apa-apa pencalonan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2025-2029 daripada ahli-ahli gabungan atau sesiapa sahaja, sehinggalah kes diputuskan secara muktamad.
Selain itu, defendan pertama hingga defendan 19 atau wakil-wakilnya atau ejen-ejennya atau pegawai-pegawainya atau kakitangan-kakitangannya yang lain dihalang daripada mengadakan Kongres FAM ke-61 termasuk membuat pemilihan Jawatankuasa Eksekutif baharu bagi penggal 2025-2029 pada 15 Feb 2025 atau pada bila-bila masa sehinggalah kes diputuskan secara muktamad.
Defendan pertama hingga defendan 19 atau wakil-wakilnya atau ejen-ejennya atau pegawai-pegawainya atau kakitangan-kakitangannya yang lain juga dihalang daripada mengambil apa-apa tindakan atau cuba mengambil apa-apa tindakan terhadap plaintif sehingga kes diputuskan secara muktamad.
Defendan 20 (Pesuruhjaya Sukan Malaysia) atau wakil-wakilnya atau ejen-ejennya atau pegawai-pegawainya atau kakitangan-kakitangannya yang lain, dilantik sebagai pentadbir interim kepada defendan pertama apabila tempoh Jawatankuasa Eksekutif FAM sekarang tamat pada 12 Mac 2025 sehinggalah kes diputuskan secara muktamad.
PFA juga memohon injunksi untuk defendan pertama hingga defendan 19 membayar kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Notis permohonan itu juga menyebut alasan permohonan dibuat iaitu mendakwa defendan pertama hingga defendan 19 telah mengantung keahlian plaintif dalam FAM pada 4 Dis 2024, yang telah menghalang plaintif daripada mengemukakan pencalonan, menghadiri dan mengambil bahagian dalam Kongres FAM ke-61 serta mengundi dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif baharu.
Plaintif juga telah memfailkan writ bagi membatalkan pengantungan tersebut yang dibuat tanpa memberi hak kepada plaintif untuk didengar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial