AM

Suria KLCC Saji Pengalaman Taman Oriental Sempena Tahun Baharu Cina

17/01/2025 05:20 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Pusat beli-belah ikonik Suria KLCC menyajikan pengalaman yang menakjubkan, ganjaran membeli-belah dan persembahan budaya kepada para pengunjung sempena perayaan Tahun Baharu Cina, bermula 3 Jan hingga 9 Feb ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd Francis Tan berkata kempen dengan tema Taman Oriental Kontemporari yang berlatarkan warna merah dan emas di Centre Court Suria KLCC itu menampilkan hiasan memukau bersama motif halus potongan kertas Cina, gerbang besar, pagoda Cina dan dua belas zodiak Cina.

“Selaras dengan komitmen Suria KLCC terhadap kesejahteraan komuniti, kempen tahun ini turut menyokong kesedaran kesihatan mental. Pengunjung boleh membeli Suria Ribbon Pin pada harga RM10, yang membolehkan mereka memilih ucapan bermakna untuk dipamerkan di Gold Blossoming Tree of Prosperity.

“Tema Taman Oriental Kontemporari kami tahun ini membawa sentuhan moden kepada nilai tradisi yang abadi. Kami juga berbesar hati menyokong kesedaran kesihatan mental melalui inisiatif Gold Blossoming Tree of Prosperity, membolehkan pengunjung menyumbang dengan bermakna sambil menikmati suasana perayaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pengunjung juga boleh menikmati pelbagai persembahan budaya dan aktiviti menarik seperti tarian singa, muzikal tradisional Cina dan bengkel perhiasan barang kemas sepanjang tempoh kempen berkenaan.

Tan berkata penebusan e-Baucar beli-belah Suria KLCC bernilai RM100 dan sekotak angpau akan diberikan kepada mereka yang berbelanja RM2,500 atau lebih dalam dua resit, manakala bagi pembelian RM10,000 ke atas, ganjaran RM300 bersama set angpau menanti pengunjung.

Bagi pelanggan yang membeli e-Baucar bernilai RM1,000 pula, mereka akan menerima e-Baucar bonus RM100 yang terhad kepada 50 pelanggan pertama.

Kenyataan sama memaklumkan pusat beli-belah Alamanda di Putrajaya turut mengetengahkan tema Taman Oriental Kontemporari sempena Tahun Baharu Cina di Centre Court, dari 17 Jan hingga 2 Feb.

“Untuk meningkatkan lagi pengalaman, persembahan menarik seperti Tarian Singa Akrobatik di atas tiang, Tarian Pita Cina dan persembahan Chinese Opera Mask-Changing akan menghiburkan pengunjung sepanjang tempoh itu.

“Bagi pengunjung muda, program VIKids Alamanda menawarkan aktiviti budaya yang menyeronokkan pada 25, 26, 29 dan 30 Jan. Kanak-kanak boleh mencipta tanglung mereka sendiri pada sesi kraf kertas tanglung dan membawa pulang hasil karya mereka,” menurut kenyataan itu, yang memaklumkan hasil jualan Green Ribbon Pin akan disalurkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) kesihatan mental.

Pengunjung di Alamanda juga akan menikmati ganjaran melalui Program Ganjaran Pembeli dengan berbelanja RM600 atau lebih dalam dua resit untuk menerima e-Baucar bernilai RM30 atau berbelanja RM1,500 untuk mendapatkan e-Baucar berjumlah RM80.

Sementara itu, pusat beli-belah Mesra Mall di Kemaman, Terengganu turut mengadakan kempen Tahun Baharu Cina, bermula 17 Jan hingga 6 Feb ini dengan mengetengahkan hiasan menggunakan palet warna merah monokrom bersama motif potongan kertas Cina.

“Pengunjung boleh menikmati persembahan memukau seperti tarian kipas, tarian singa tradisional serta persembahan gendang bertenaga yang menjanjikan sambutan penuh irama dan budaya.

“Kempen ini juga menawarkan bengkel menarik untuk kanak-kanak, termasuk kaligrafi Cina, pembuatan tanglung kertas dan seni potongan kertas. Selain itu, satu pertandingan mewarna akan diadakan dengan hadiah menarik menanti para pemenang,” katanya.

Para pengunjung di pusat beli-belah ini juga boleh mendapatkan beg tangan sulaman eksklusif berbentuk simpul dengan berbelanja RM350 atau lebih di kedai khas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan