AM

KKM Perkenal Dasar, Program Pencegahan Kesihatan Paru-paru

18/01/2025 12:56 AM

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama Persatuan Kesihatan dan Keselamatan Industri Malaysia (MiSHA) akan memulakan agenda kesihatan khusus bagi sektor pekerjaan melalui Inisiatif Kesihatan Paru-Paru Kebangsaan pada tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata inisiatif itu merupakan langkah penting dalam menangani risiko penyakit berkaitan paru-paru yang berkait rapat dengan tempat kerja.

“Melalui kerjasama ini, KKM dan MiSHA akan menggembleng tenaga untuk memperkenalkan dasar dan program pencegahan lebih menyeluruh termasuk penyediaan garis panduan kesihatan paru-paru, kempen kesedaran dan pemeriksaan kesihatan berkala untuk pekerja yang terdedah bahan berbahaya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Anugerah Kecemerlangan Nasional bagi Prinsip Pencegahan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHPoP) MiSHA 2024 di sini malam ini.

Dzulkefly berkata pekerja dalam sektor pembuatan, pembinaan dan industri berat antara yang sering terdedah kepada bahan berbahaya seperti habuk, bahan kimia dan pencemaran udara.

“Risiko ini boleh mengakibatkan penyakit seperti paru-paru kronik, asma pekerjaan atau silikosis sekiranya tidak diuruskan dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sebagai badan yang mewakili suara industri, MiSHA memainkan peranan penting dalam menyampaikan keperluan dan cabaran sektor pekerjaan kepada pihak kementerian.

Beliau berkata kerjasama itu diharap dapat menjadi platform untuk menyelaraskan usaha dalam memperbaiki kesejahteraan pekerja dan mencegah risiko kesihatan di tempat kerja.

  -- BERNAMA


 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan