AM

Malaysia Seru Menteri Pelancongan ASEAN Pupuk Semangat Komuniti Serantau

18/01/2025 10:55 PM

JOHOR BAHRU, 18 Jan (Bernama) -- Ketika Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN tahun ini, negara menggesa semua menteri pelancongan di rantau ini menjiwai semangat komuniti ASEAN untuk membina industri pelancongan yang mampan, terangkum dan berdaya tahan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata kerjasama diperlukan untuk melindungi warisan dan masyarakat serantau dan memperkukuh kehadiran ASEAN di persada global.

“Sepertimana kita semua tahu, kita berkumpul minggu ini untuk berbincang, menjalin rangkaian dan mendapatkan idea baharu. Jadi, marilah kita mengamalkan semangat komuniti ASEAN untuk membina masa depan pelancongan yang mampan, inklusif dan kukuh,” katanya pada majlis perasmian Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2025 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Tiong berkata tema ATF tahun ini, Unity in Motion, Shaping ASEAN Tourism Tomorrow, meraikan pencapaian negara ASEAN sambil menekankan kepentingan kerja berpasukan dalam menangani cabaran dan peluang dalam industri pelancongan yang semakin berkembang.

Beliau berkata kehadiran menteri pelancongan ASEAN dan wakil daripada rakan dialog ASEAN pada forum ini ialah bukti perkongsian hebat dan semangat kerjasama di rantau ini dalam membina landskap pelancongan yang berdaya tahan.

“Penganjuran acara penting di Johor ini bukan sahaja menyerlahkan budaya berasaskan negeri dan pembangunan moden, tetapi juga mencerminkan visi Malaysia dalam mempromosikan destinasi pelancongan yang semakin berkembang.

“Oleh itu, saya ingin mengucapkan penghargaan kepada Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan rakyat Johor atas sokongan padu dan kerjasama dalam menjayakan Pelancongan ASEAN 2025,” katanya.

Tiong berkata kehadiran Fadillah pada majlis hari ini juga akan membawa nada positif dan menggalakkan kerjasama erat untuk masa depan pelancongan ASEAN yang lebih cerah.

ATF 2025 yang berlangsung dari 15 hingga 20 Jan, bertujuan mempromosikan produk pelancongan serantau, memudahkan pertukaran pengetahuan, menjalin peluang rangkaian, dan mengukuhkan kerjasama dengan pemimpin dalam industri pelancongan global bagi meningkatkan bilangan pelancong melawat ASEAN.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan