KOTA BHARU, 19 Jan (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mengesahkan kerosakan jalan ke perkampungan Orang Asli di Gua Musang disebabkan oleh hujan lebat, dan diperburuk oleh kemasukan kenderaan NGO tanpa kebenaran.
Menurut JAKOA, tindakan ini bukan sahaja merosakkan laluan, malah menjejaskan pergerakan penduduk Orang Asli di kawasan berkenaan.
“Laluan Kampung Kuala Suma ke Pos Bihai dan Pos Belatim kini berada di bawah Projek Jalan Perhubungan Desa yang melibatkan laluan Kuala Betis–Pos Bihai–Pos Belatim–Pos Balar– Pos Hau. Projek itu sedang dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2028.
“JAKOA akan terus memantau pelaksanaan projek ini dan melarang sebarang aktiviti kemasukan ke kawasan Orang Asli tanpa kebenaran yang boleh membawa mudarat kepada komuniti di sini,” menurut JAKOA.
Menurut kenyataan itu, keadaan jalan yang rosak terus menjadi cabaran utama bagi masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman, memerlukan usaha bersepadu untuk memastikan kemudahan infrastruktur lebih baik pada masa hadapan.
Semalam, media melaporkan lebih 50 pelajar Orang Asli di Pos Balar dan Pos Belatim terpaksa menempuh 15 jam bagi perjalanan sejauh kira-kira 80 kilometer untuk pulang ke rumah sempena cuti sekolah apabila jalan ke perkampungan mereka rosak teruk akibat hujan sejak seminggu lalu.
Tujuh kenderaan pikap yang membawa kumpulan pelajar itu perlu menempuh perjalanan dengan keadaan jalan berlumpur yang menyebabkan kenderaan tersekat beberapa kali.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial