DUNIA

Dewan Perwakilan AS Luluskan RUU Susulan Kebakaran Yang Marak

24/01/2025 03:49 PM

WASHINGTON, 24 Jan (Bernama-AA) -- Dewan Perwakilan Amerika Syarikat meluluskan satu rang undang-undang (RUU) pada Khamis yang bertujuan mengurangkan risiko kebakaran liar pada masa depan ketika kebakaran di kawasan Los Angeles terus marak, menurut Agensi Anadolu (AA).

Rang Undang-Undang Fix Our Forests Act, yang dikemukakan bersama oleh Pengerusi Sumber Asli Dewan Bruce Westerman dan ahli perwakilan Scott Peters, diluluskan dengan undian 279-141.

Ketua Majoriti Dewan Steve Scalise berkata akta itu akan memaksa pemimpin negeri membuat persediaan yang lebih baik dan mencegah kebakaran hutan melalui pengurusan hutan yang bijak, berbanding mengutamakan agenda iklim berhaluan kiri.

"Rang undang-undang yang masuk akal ini akan melindungi komuniti dan memulihkan hutan," katanya.

Kebakaran pada Rabu adalah yang terbaharu melanda kawasan Los Angeles selepas siri kebakaran mula merebak di bandar kedua terbesar Amerika itu sejak 7 Jan.

Kebakaran pertama, Palisades Fire, telah memusnahkan komuniti mewah pantai di Pacific Palisades, manakala kebakaran utama lain, Eaton Fire, membakar kawasan luas di Bandar Altadena yang terletak di kaki bukit.

Sejumlah 11 orang terkorban dalam Palisades Fire manakala 17 maut dalam Eaton Fire, di samping kemusnahan besar di kedua-dua kawasan yang menyebabkan ramai penduduk berusaha mencari tempat tinggal baharu.

-- BERNAMA-AA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan