AM

Lebih 300,000 Kenderaan Dijangka Masuk Melaka Sempena Cuti Tahun Baharu Cina

28/01/2025 06:36 PM

MELAKA, 28 Jan (Bernama) -- Polis Melaka menjangkakan kira-kira 318,000 kenderaan akan memasuki negeri itu sempena cuti sambutan Tahun Baharu Cina kali ini.

Pemangku Ketua Polis Melaka Datuk Md Nazri Zawawi berkata anggaran tersebut melibatkan 103,000 kenderaan melalui Tol Simpang Ampat, Tol Ayer Keroh (172,000) dan Tol Jasin sebanyak 43,000  kenderaan.

"Peningkatan jumlah kenderaan ini disebabkan oleh cuti perayaan yang disertai cuti sekolah yang panjang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat 23 sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2025 di Plaza Tol Ayer Keroh, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Md Nazri berkata sebanyak 17 pegawai dan 138 anggota polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka akan ditempatkan di kawasan-kawasan 'hotspot' yang sering berlaku kesesakan lalu lintas serta kawasan 'blackspot' yang kerap mencatatkan kemalangan.

Beliau berkata antara lokasi 'hotspot' yang dikenal pasti ialah Jalan Mufti Haji Khalil, Jalan Rembia-Kendong dan Jalan Gapam-Bemban.

Sementara itu, kawasan 'blackspot' yang sering mencatatkan kemalangan termasuk Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (Lebuh AMJ), Jalan Sungai Udang-Lubok China dan Jalan Merlimau-Jasin.

Md Nazri turut menjelaskan sepanjang Op Selamat itu, ini, pihak JSPT Melaka akan menumpukan kepada enam kesalahan utama yang sering dilakukan pengguna jalan raya iaitu  memotong di garisan berkembar, memotong barisan, menggunakan telefon ketika memandu, pandu lebih had laju, pandu di lorong kecemasan dan gagal patuhi isyarat lampu.

Berdasarkan rekod tahun lalu, sebanyak 399 kes kemalangan dicatatkan sepanjang Op Selamat 21 sempena Tahun Baharu Cina termasuk lima kemalangan maut, satu kemalangan parah, sembilan kemalangan ringan dan 384 kes kemalangan melibatkan kerosakan kenderaan.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan