AM

Tambah Baik Sistem Saliran, Dalamkan Sungai Cegah Banjir - Tiong

30/01/2025 02:20 PM

BINTULU, 30 Jan (Bernama) -- Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing menyifatkan banjir buruk yang menjejaskan beberapa kawasan di sekitar Bintulu disebabkan kelemahan sistem saliran serta kegagalan melaksanakan projek pendalaman dan pelebaran Sungai Sibiew.

Tiong yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata masalah itu menghalang air lebihan susulan hujan lebat selama tiga hari dua malam daripada disalirkan dengan cekap, sekali gus menyebabkan paras sungai meningkat dengan cepat.

Beliau berkata kawasan terjejas teruk ialah sekitar Sungai Sibiew, yang disebabkan kesan daripada kelewatan melaksanakan projek mendalam dan melebarkan dasar sungai terbabit.

“Projek pendalaman dan pelebaran Sungai Sibiew kekal sebagai cadangan selama hampir lima tahun  tanpa ada sebarang kemajuan. Banjir yang memusnahkan ini seharusnya menjadi amaran yang mendesak dan agensi yang berkaitan perlu memikul tanggungjawab.

“Saya telah menegaskan berulang kali bahawa sungai ini perlu didalamkan sekurang-kurangnya tiga hingga lima meter dan dilebarkan hingga 100 meter untuk menampung peningkatan hujan akibat perubahan iklim. Hanya dengan cara ini kita dapat mencegah bencana seumpama ini daripada berulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, katanya dasar Sungai Kemena juga perlu didalamkan kerana enapan telah menyebabkan sungai terbabit semakin cetek sekali gus menyukarkan pergerakan bot.

Tiong berkata beliau akan sekali lagi menekankan keperluan untuk pelaksanaan projek mendalam dan melebar dua sungai terbabit dalam mesyuarat di Pejabat Residen pada 10 Feb, dan akan mencadangkan supaya pembinaan jambatan yang menghubungkan Taman Jason dan Taman Kemena Sutera dihentikan bagi mengelak gangguan kepada kerja-kerja pendalaman dasar sungai.

Beliau turut menggesa agar pemindahan penduduk setinggan di sepanjang kedua-dua tebing sungai dipercepat bagi memudahkan usaha pendalaman dan pelebaran sungai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan