AM

WBB: Cuepacs Sokong Langkah Tubuh Jawatankuasa Khas Kaji Waktu Kerja

30/01/2025 02:46 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyokong langkah Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji penjadualan waktu kerja dan pemerkasaan penyampaian perkhidmatan kesihatan.

Presiden berkenaan Datuk Dr Adnan Mat berharap jawatankuasa itu akan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan termasuk wakil kesatuan sekerja dan pekerja yang terlibat secara langsung dalam perkhidmatan kesihatan.

“Sebarang perubahan dalam sistem waktu bekerja mestilah dilaksanakan secara holistik dengan mengambil kira keseimbangan antara keperluan perkhidmatan, kebajikan pekerja dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Keputusan Jemaah Menteri untuk meneliti semula cadangan Waktu Bekerja Berlainan (WBB) adalah langkah tepat bagi memastikan sebarang perubahan yang dibuat adalah berlandaskan kajian menyeluruh dan mengambil kira kepentingan dan kebajikan semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebelum ini menyatakan Jemaah Menteri memutuskan untuk membatalkan projek rintis WBB bagi memberi laluan kepada kajian lebih mendalam dan menyeluruh.

Dalam pada itu, Adnan berkata cadangan WBB bukan berasal daripada Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) seperti yang disalahertikan sesetengah pihak, sebaliknya ia adalah cadangan Medical Advisory and Action Committee (MAAC).

“Oleh itu, tidak wajar mana-mana pihak menyalahkan kumpulan pegawai ini tanpa asas yang kukuh. PTD sentiasa memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan melaksanakan dasar dengan profesional dan berintegriti demi kepentingan negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan