AM

Lebih 40,000 Penjawat Awam Berisiko Tinggi Isu Kesihatan Mental

05/02/2025 04:27 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Seramai 44,901 pegawai awam yang menjalani saringan Sistem Profiling Digital Kesihatan Psikologi Perkhidmatan Awam (MyPsyD) didapati berisiko tinggi dalam isu kesihatan mental berkaitan kemurungan, keresahan, penyalahgunaan bahan dan tingkah laku bunuh diri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata jumlah itu adalah 4.6 peratus daripada 975,780 penjawat awam yang terlibat dalam saringan MyPsyD bagi tempoh 1 Mac sehingga 31 Dis 2024.

Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah membangunkan MyPsyD yang bertujuan untuk mengenal pasti tahap kesihatan psikologi pegawai.

“Secara keseluruhannya, pelaksanaan saringan kesihatan psikologi MyPsyD merupakan inisiatif kerajaan yang signifikan dalam mengenal pasti risiko psikologi dan kesihatan mental pegawai.

“Keprihatinan JPA dengan sokongan profesional melalui strategi pencegahan dan intervensi awal diyakini dapat mengekalkan kesejahteraan pegawai awam secara holistik dan seterusnya dapat meningkatkan produktiviti mereka sepanjang perkhidmatan,” katanya dalam jawapan bertulis yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen hari ini. 

Dr Zaliha menjawab soalan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) berhubung program khusus yang dilaksanakan kerajaan susulan laporan lebih 40,000 penjawat awam mengalami isu kesihatan psikologi.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata kerajaan telah mengambil langkah strategik untuk mencegah dan menangani isu yang dikenal pasti melalui pendekatan yang menyeluruh.

“Langkah ini termasuk rujukan segera kepada pakar bagi kes yang serius di samping intervensi psikologi melalui psikoterapi dan pemantauan rapi oleh pegawai psikologi.

“JPA melalui Bahagian Pengurusan Psikologi (BPPs) juga menyediakan pelbagai latihan kompetensi dan membangunkan Garis Panduan Pengurusan Intervensi Bersepadu, pelan rawatan dan rujukan yang berkaitan bagi memantapkan kualiti dan perkhidmatan psikologi sektor awam,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan