KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Cadangan garis panduan bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam, masih dalam proses libat urus bersama pihak berautoriti, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mohktar.
Beliau berkata proses libat urus itu termasuk melibatkan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN) dan akan diteliti secara komprehensif oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-126.
“Keputusan Jawatankuasa Muzakarah MKI akan diangkat kepada pertimbangan Mesyuarat MKI yang dipengerusikan oleh Sultan Perak,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau meminta semua pihak tidak mempolemikkan isu berkaitan garis panduan itu sehingga menimbulkan keresahan awam kerana tujuan ia dibangunkan bagi memastikan penganjuran aktiviti berorientasikan keagamaan dilaksanakan secara tertib seterusnya menjadi satu daripada wadah berkesan ke arah pengukuhan keharmonian negara.
Dalam jawapan bertulis di Parlimen hari ini, Mohd Na’im memaklumkan satu garis panduan baharu akan diperkenalkan merangkumi penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan dan upacara kematian orang bukan Islam serta kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat bukan Islam.
Media hari ini melaporkan kritikan beberapa pihak mengenai cadangan garis panduan baharu itu antaranya mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa agama jika acara itu melibatkan umat Islam, serta memastikan acara tersebut tidak mengandungi unsur yang boleh menyinggung sensitiviti umat Islam.
Mohd Na’im berkata garis panduan itu dibangunkan bagi menggalakkan perhubungan sosial dan budaya harmoni dalam kalangan masyarakat majmuk berbilang agama di Malaysia.
Menerusi garis panduan yang sedang dibangunkan itu, orang Islam akan dapat menghadiri majlis perayaan atau upacara penganut agama lain dalam keadaan tertib, mematuhi adab serta memelihara pegangan akidah Islam, katanya.
Selain itu, beliau berkata garis panduan berkenaan adalah bersifat nasihat dan setelah dimuktamadkan nanti, ia akan memandu dan merancakkan usaha kerajaan untuk mengukuhkan perpaduan dan membina sikap saling menghormati dalam kalangan rakyat, tanpa berasa bimbang atau salah faham daripada perspektif agama Islam.
“Ia secara langsung memastikan penganjuran dan penglibatan orang Islam dalam aktiviti-aktiviti tersebut tidak akan mencetuskan kontroversi atau menyentuh sensitiviti antara penganut agama,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial