KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Seorang jurutera yang juga warga Indonesia maut selepas sebuah helikopter jenis Bell 206 L4 terbakar ketika mendarat untuk mengisi minyak di Bentong, Pahang, pagi ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Zulfadli Zakaria yang mengesahkan perkara itu berkata juruterbang helikopter berkenaan terselamat dan tidak mengalami kecederaan.
Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk tindakan lanjut manakala helikopter itu terbakar serta musnah 100 peratus.
Kejadian berlaku berhampiran kolam air panas, Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Pahang memaklumkan sejurus menerima panggilan kecemasan, lima anggota dan seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong bergegas ke lokasi kejadian bersama satu unit Fire Rescue Tander (FRT) dan tiba di lokasi pada 10.52 pagi.
“Berdasarkan laporan saksi di tempat kejadian, helikopter itu telah melakukan pendaratan di lokasi untuk tujuan pengisian bahan bakar. Bagaimanapun ketika hendak melakukan pendaratan, helikopter telah hilang kawalan dan terbalik.
“Akibat kejadian itu, seorang lelaki warga Indonesia iaitu yang merupakan jurutera telah meninggal dunia ketika berada di kawasan pendaratan disyaki akibat terkena bilah kipas helikopter,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, juruterbang helikopter yang juga warga Indonesia terselamat dan tidak mengalami kecederaan manakala helikopter berkenaan terbakar serta musnah 100 peratus.
Kenyataan itu memaklumkan pasukan penyelamat menggunakan dua aliran hos salur bantu mula air tangki pam jentera bomba untuk memadam kebakaran.
Sementara itu Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan helikopter malang yang disewa dan dikendalikan oleh MHS Aviation Berhad sedang menjalankan penerbangan kerja keudaraan.
“Informasi terakhir yang diterima daripada pihak operator pada 10.18 pagi kepada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan (FIS) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) melaporkan bahawa helikopter akan mendarat di tapak pendaratan.
“Siasatan lanjut akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia mengikut Bahagian XXVI Peraturan Penerbangan Awam 2016,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial