AM

PEMENANG Minta Ahli Parlimen Akur Titah Agong, Amal Budaya Politik Matang

06/02/2025 03:49 PM

GEORGE TOWN, 6 Feb (Bernama) -- Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) hari ini meminta semua ahli Parlimen akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim supaya mengamalkan budaya politik matang dan berhemah dalam perbahasan di Parlimen.

Presiden PEMENANG Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata semua ahli Parlimen sama ada daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang perlu menunjukkan tingkah laku yang baik supaya menjadi contoh untuk generasi akan datang. 

"Titah Yang di-Pertuan Agong itu adalah satu arahan kepada semua ahli Parlimen tanpa mengira parti pembangkang atau kerajaan supaya mengamalkan budaya politik matang kerana kesemua mereka adalah mewakili rakyat dan bertaraf Yang Berhormat dari kawasan masing-masing.

"Jika pemimpin atau wakil rakyat menunjukkan teladan yang buruk maka generasi akan datang juga akan menganggap Dewan Rakyat adalah tempat untuk bertengkar dan tidak menghormati dewan yang dianggap mulia dan memberi apa-apa faedah untuk rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sultan Ibrahim pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara Isnin lepas, mengingatkan semua Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara bahawa Parlimen bukanlah tempat untuk bertegang urat, memaki-hamun atau menabur fitnah.

Sebaliknya, Seri Paduka Baginda bertitah Parlimen ialah dewan yang mulia untuk membahaskan agenda kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.

Sementara itu, Mohd Yussof berkata PEMENANG menyokong penuh titah Sultan Ibrahim supaya ahli Parlimen tidak mempolitikkan setiap isu demi kepentingan parti.

Beliau berkata Kerajaan Perpaduan ditubuhkan atas perintah Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah tiada satu parti pun yang menjadi majoriti pada pilihan raya ke-15.

"Parti komponen Pakatan Harapan (PH) telah bergabung dengan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan manakala Perikatan Nasional (PN) pula memilih untuk menjadi pembangkang dan bertanggungjawab untuk semak dan imbang.

"Maka kedua-dua pihak haruslah memainkan peranan dengan profesional dan bukannya bertengkar hingga menjerit-jerit dalam Dewan Parlimen,” katanya. 

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan