AM

Tiada Trend Peningkatan Influenza, Tiada Kes Selesema Burung - KKM 

06/02/2025 04:01 PM

PUTRAJAYA, 6 Feb (Bernama) -- Malaysia tidak menunjukkan trend peningkatan kes influenza dan tidak merekodkan sebarang kes selesema burung (avian influenza) dalam kalangan manusia, demikian menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

Berdasarkan pemantauan KKM, kadar konsultasi penyakit seperti influenza (ILI) di klinik kesihatan pada Minggu Epidemiologi (ME) 4/2025 adalah 4.67 peratus, menurun sebanyak  0.14 peratus berbanding 5.81 peratus pada ME 3/2025.

“Pada tempoh yang sama, kadar kemasukan kes jangkitan pernafasan akut yang teruk atau severe acute respiratory infection (SARI) di hospital adalah 7.26 peratus, iaitu menurun 0.16 peratus berbanding 7.52 peratus pada ME 03/2025,” menurut KKM dalam kenyataan hari ini.

Merujuk kepada laporan media luar negara yang melaporkan peningkatan kes influenza secara mendadak, KKM memaklumkan berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Rantau Pasifik Barat (WPRO), kadar positif bagi sampel influenza yang diuji ialah 26.19 peratus pada ME 1/2025 dan 21.97 peratus pada ME 4/2025, iaitu penurunan sebanyak empat peratus.

KKM memaklumkan berdasarkan laporan mingguan WHO WPRO pada 31 Jan lepas, tiada kes selesema burung baharu dalam kalangan manusia termasuk di Jepun, manakala kes terakhir yang direkodkan di rantau ini ialah pada 1 Jan lepas.

Justeru, KKM dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sentiasa menjalankan pemantauan aktif dan pengawasan terhadap ladang ternakan, populasi burung liar, serta pasar bagi mengelak sebarang risiko jangkitan.

“Hal ini bagi memastikan Malaysia kekal bebas daripada selesema burung dengan kawalan biosekuriti dan langkah pencegahan yang ketat,” menurut KKM.

KKM turut menasihati orang ramai supaya mengamalkan langkah pencegahan seperti kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan pensanitasi tangan, amalan adab batuk yang baik dengan menutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin, memakai pelitup muka terutama bagi individu berisiko tinggi  serta mendapatkan vaksinasi influenza secara tahunan.

Orang ramai juga dinasihatkan segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan ataupun swasta sekiranya mengalami gejala seperti demam, batuk dan selesema yang berpanjangan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan