AM

MAIWP Diarah Perhebat Usaha Sifar Miskin Tegar Di Wilayah Persekutuan - Mohd Na'im

10/02/2025 12:38 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) diberi mandat untuk mempergiat usaha menoktahkan kemiskinan tegar di Wilayah Persekutuan, selaras dengan komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam agenda nasional pembasmian kemiskinan tegar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata inisiatif itu, perlu diperkukuh melalui pelaksanaan skim bantuan kerajaan yang menyasarkan golongan benar-benar memerlukan.

“Setiap agensi perlu meningkatkan kualiti kerja, menjaga tatakelola serta memastikan kecekapan dalam pelaksanaan tugas dalam ruang lingkup agensi masing-masing,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata perkara itu antara mesej utama ditekankan Perdana Menteri kepada warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Majlis Perjumpaan bagi bulan Februari 2025 di Dewan De’ Seri Endon, PUSPANITAPURI, Putrajaya pagi ini.

Mohd Na’im turut menghadiri perjumpaan bulanan itu.

Kementerian Ekonomi sebelum ini mengumumkan bahawa berdasarkan Bank Data Kemiskinan Nasional eKasih sehingga 31 Dis tahun lepas, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis telah mencatatkan sifar kemiskinan tegar.

Pada perkembangan lain, Mohd Na’im memaklumkan semua agensi hal ehwal agama diketuai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mula membuat persiapan rapi menjelang Ramadan bulan hadapan.

“Masjid utama di bawah JAKIM serta masjid dan surau seliaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) perlu buat persiapan dari sekarang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan