AM

Malaysia-Turkiye Tingkat Kerjasama Bidang Pelancongan, Kebudayaan

11/02/2025 06:43 PM

PUTRAJAYA, 11 Feb (Bernama) -- Malaysia dan Turkiye bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam sektor pelancongan dan kebudayaan dengan mewujudkan keadaan yang kondusif bagi menarik lebih ramai pelancong dari kedua-dua negara.

Dalam kenyataan bersama hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdoğan mengakui kepentingan kerjasama dalam bidang pelancongan dan kebudayaan antara kedua-dua negara.

"Malaysia mengalu-alukan kedatangan pelancong Turkiye bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam sektor penerbangan awam yang menyumbang kepada pelancongan, hubungan antara rakyat dan perdagangan.

Selain pelancongan, kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan mengeratkan hubungan antara rakyat melalui program pertukaran antara institusi pengajian tinggi dan institut penyelidikan.

Anwar dan Erdoğan yakin program pertukaran ini dapat membantu mempertingkatkan pemahaman bersama dan memperkukuh kerjasama akademik serta penyelidikan.

Kedua-dua pemimpin menyatakan sokongan mereka terhadap penubuhan Jawatankuasa Bersama antara Turkiye dan Malaysia dalam bidang pendidikan tinggi, selain menyokong inisiatif penubuhan sekolah bagi mengukuhkan kerjasama dalam bidang pendidikan menengah.

Dalam bidang kesihatan pula, kedua-dua pemimpin menegaskan semula hasrat mereka untuk meneruskan peluang kerjasama dalam sains dan peralatan perubatan.

Malaysia dan Turkiye juga bersetuju untuk meneroka peluang kerjasama dalam amalan Sisa Sifar, menerusi pertukaran pengetahuan dan amalan terbaik dalam pengurusan sisa, kitar semula dan ekonomi kitaran.

Menyedari kepentingan pengurusan bencana, Anwar dan Erdoğan menyambut baik penandatanganan perjanjian persefahaman (MoU) mengenai Pengurusan Bencana dan Kecemasan.

“Kedua-dua pemimpin bersetuju mengukuhkan kolaborasi dalam bidang ini dengan melaksanakan aktiviti di bawah MoU, termasuk latihan teknikal dan pertukaran kepakaran dalam pencarian dan penyelamatan serta usaha bantuan kemanusiaan secara bersama,” menurut kenyataan itu.

Kerjasama bidang pertanian turut menjadi agenda perbincangan, dengan kedua-dua pemimpin menyatakan hasrat untuk mengeratkan hubungan menerusi mesyuarat teknikal, lawatan dan program latihan.

Sementara itu, Erdoğan dalam sidang media bersama Anwar berkata kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan mengenai pelaksanaan jawatankuasa bersama antara Kementerian Pendidikan kedua-dua negara.

“Kita juga bertekad untuk mengukuhkan hubungan dengan Pusat Kebudayaan Yunus Emre dan saudara Malaysia kami melalui Yayasan Turkiye-Malaysia,” katanya.

 Erdoğan berkata syarikat-syarikat Turkiye juga bersedia untuk berkongsi pengalaman dan produk dengan Malaysia dalam bentuk yang memberikan manfaat kepada kedua-dua negara.

“Dalam pertemuan hari ini, kita telah meneliti hubungan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti industri, teknologi, tenaga, pelancongan, kebudayaan dan pendidikan.

“Kita mengesahkan kerjasama dalam bidang pelancongan. Kami berbesar hati dengan minat Malaysia terhadap negara kami. Kami ingin mengalu-alukan lebih ramai datang ke Turkiye,” katanya.

Erdoğan tiba di Malaysia semalam untuk lawatan rasmi dua hari, diiringi Wanita Pertama Turkiye Emine Erdoğan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan