AM

Anak Bongsu Zaquan Adha, Ayu Raudhah Meninggal Dunia

12/02/2025 09:07 AM

REMBAU, 11 Feb (Bernama) -- Anak bongsu kepada bekas pemain bola sepak kebangsaan Mohamad Zaquan Adha Abdul Radzak dan pelakon Ayu Raudhah meninggal dunia petang tadi.

Berita pemergian Muhammad Aisy Al Rees yang berusia enam bulan itu dikongsikan Mohamad Zaquan menerusi Instagram Story (IGs) miliknya.

“Salam semua, anak bongsu kami, Muhammad Aisy Al Rees Mohamad Zaquan Adha telah kembali kepada pencipta-Nya, sebentar tadi. Doakan saya dan isteri kuat untuk dugaan ini," katanya.

Tinjauan Bernama di pekarangan Unit Forensik Hospital Rembau setakat 10.30 malam mendapati selain ahli keluarga, beberapa rakan selebriti termasuk bekas pemain bola sepak kebangsaan Mohd Safee Mohd Sali turut hadir memberi sokongan kepada pasangan tersebut.

Difahamkan, jenazah akan dikebumikan di Makam Tuan Haji Said Seremban, esok.

Mohamad Zaquan dan Ayu Raudhah mendirikan rumah tangga pada 21 Jan 2011 dan dikurniakan tujuh cahaya mata iaitu Muhammad Aisy Qaiser, 12, Muhammad Aisy Aryann, 11, Laura Zuleykha, 8, Muhammad Aisy Khaliq, 6, Muhammad Aisy Al Jibreel, 3, serta anak keenam berusia dua tahun.

Muhammad Aisy Al Rees lahir pada 2 Ogos tahun lepas.

Sementara itu, Mohamad Zaquan ketika ditemui meminta orang ramai supaya mendoakan keluarganya selain turut berterima kasih kepada mereka yang datang memberi sokongan.

“Setakat ini kami tidak mahu bagi sebarang komen, kita doakan yang terbaik.

“Bagi masa untuk saya dan isteri, harap semua faham," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan