AM

KPKM Rangka Program Baharu Lonjak Pengkomersialan Produk Agromakanan

06/03/2025 03:35 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Kerajaan sedang merangka program khas di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi mempercepatkan pengkomersialan hasil penyelidikan yang telah memenuhi piawaian pasaran khususnya dalam sektor agromakanan.  

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata inisiatif itu bertujuan mengurangkan kegagalan antara fasa prapengkomersial dan pengkomersialan, selain meningkatkan tahap kesediaan produk hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menembusi pasaran. 

"Kementerian juga sedang menghalusi potensi kerjasama dengan syarikat swasta FarmByte Sdn Bhd, dalam aspek pemasaran melalui platform perniagaan ke perniagaan (B2B) digital yang dibangunkan syarikat tersebut," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Ahmad Azam Hamzah  mengenai perancangan kerajaan dalam memperkukuh kerjasama antara syarikat swasta, universiti tempatan, dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dalam membangunkan teknologi mampan yang sesuai dengan keperluan petani masa kini.

Arthur berkata kerjasama antara kerajaan, institusi akademik dan sektor swasta penting dalam memacu inovasi sektor pertanian kerana kementerian tidak memiliki kepakaran dalam semua bidang. 

Contoh kerjasama telah dilaksanakan termasuk inisiatif antara Jabatan Perikanan dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi membangunkan sistem amaran awal ledakan alga berbahaya menggunakan teknologi Internet Kebendaan (IoT).

Selain itu, kementerian turut bekerjasama dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam pengesanan penyakit bintik putih pada ikan marin menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Pada sesi sama, menjawab soalan tambahan Senator Hussin Ismail mengenai insentif kerajaan bagi penerapan teknologi moden dalam pertanian, Arthur berkata kementerian menyediakan dua geran iaitu Geran Start-Up dan Scale-Up bagi membantu golongan muda dalam sektor pertanian.

“Bagi insentif seperti cukai dan sebagainya, kita boleh berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk menawarkan insentif tersebut.

“Bagi kajian pula, kementerian sentiasa bekerjasama dengan MARDI dalam menghasilkan pelbagai kajian mengenai benih yang sesuai dengan perubahan cuaca, termasuk kajian untuk memastikan hasil-hasil (produk) yang boleh dikomersialkan,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan