AM

Anwar Puji Wisma Putra Berjaya Perkukuh Imej Malaysia Di Peringkat Global

09/03/2025 10:09 PM

PUTRAJAYA, 9 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memuji Kementerian Luar atau Wisma Putra atas kejayaannya dalam memperkukuh imej dan pengaruh Malaysia di peringkat global.

Beliau berkata walaupun berhadapan dengan jadual yang padat, kementerian itu berjaya melaksanakan tanggungjawab dan usaha Kerajaan MADANI dalam mengangkat imej negara di persada antarabangsa.

Perdana Menteri berkata kejayaan itu dapat dilihat berdasarkan lawatan beliau ke luar negara, termasuk ke negara-negara anggota ASEAN.

“Terima kasih kepada warga Wisma Putra yang dapat mengangkat ikhtiar dan usaha yang membanggakan, walaupun dibebankan dengan tugas yang jauh lebih besar daripada beberapa tahun sebelum ini.

“(Berdasarkan) pengalaman saya bersama-sama dalam kunjungan dan ke luar negara (termasuk) ASEAN terutamanya beberapa negara luar, saya melihat prestasi membanggakan bukan sahaja kepada saya tetapi juga kepada negara,” kata beliau berucap pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Luar di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri isteri beliau Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj.

Anwar berkata Wisma Putra yang dipimpin Mohamad Hasan telah memainkan peranan penting dalam menjalin hubungan dan dasar antara Malaysia dengan negara luar.

“Ini bukan satu gurauan, saya berkata dengan serius kepada Menteri Luar. Saya perasan apabila Perdana Menteri menjemput (duta-duta), tidak semua yang hadir. Tetapi apabila Menteri Luar yang jemput, saya lihar kehadiran begitu ramai tanpa gagal.

“Ini tentunya menunjukkan kekuatan dan pengaruh Menteri Luar kita serta kementerian secara keseluruhannya,” kata beliau.

Sementara itu, Anwar berkata Ramadan di Malaysia mempunyai keunikan tersendiri berbanding negara lain, dengan masyarakat bukan Islam juga turut serta dalam majlis berbuka puasa bersama rakan-rakan Muslim.

Beliau berkata masyarakat bukan Islam di Malaysia menghormati rakan Muslim mereka, dengan ada dalam kalangan mereka yang tidak makan di hadapan mereka yang sedang berpuasa.

“Dari sejak saya kecil di Pulau Pinang, saya jarang melihat rakan-rakan rapat, sama ada cina dan India makan di hadapan saya. Mereka akan cuba elakkan, mereka akan pergi ke tempat lain (untuk makan),” kata Perdana Menteri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan