KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Sebarang bentuk perdebatan yang memfokuskan kepada perbezaan agama perlu dihentikan kerana ia boleh mencetus ketegangan dan mengeruhkan hubungan masyarakat berbilang agama di Malaysia, kata Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang.
Beliau berkata perbincangan mengenai agama seharusnya dilakukan dengan penuh rasa hormat dan atas kesedaran terhadap kepelbagaian dalam masyarakat di negara ini.
“Walaupun kita mempunyai pelbagai agama dan kepercayaan, adalah lebih utama untuk kita memberi fokus kepada titik persamaan dan nilai-nilai universal yang dapat menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aaron berkata kementeriannya telah mewujudkan platform melalui inisiatif Harmoni MADANI bagi melaksanakan siri Dialog Harmoni dengan tema Faham, Hormat & Terima bagi membincangkan dan berkongsi amalan baik agama masing-masing yang mampu meningkatkan hubungan antara penganut agama di negara ini.
Beliau menyarankan semua pihak supaya memanfaatkan platform Dialog HARMONI itu sebagai medium memperkukuh kefahaman dan menghargai kepelbagaian masyarakat Malaysia dengan mengangkat titik persamaan.
“Semua pihak, sama ada wakil rakyat, ahli politik, pemimpin agama, masyarakat, atau individu, perlu memainkan peranan masing-masing dalam memupuk perpaduan dan mengekalkan kesejahteraan negara,” katanya.
Jumaat lepas media melaporkan Ahli Parlimen Tapah Datuk Seri M. Saravanan menetapkan tarikh debat bersama pendakwah bebas Zamri Vinoth pada 23 Mac ini yang akan dianjurkan Dewan Bahasa Tamil Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial