AM

Konsep Negara Bangsa Jadi Fokus KPN Bentuk Masyarakat Bersatu Padu

12/03/2025 06:45 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memilih tema ‘Harmoni Dalam Kepelbagaian’ dan Konsep Negara Bangsa sebagai fokus utama tahun ini, sebagai usaha mencapai kesatuan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang etnik.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara K Saraswathy berkata konsep negara bangsa yang akan diperkenalkan KPN adalah bagi membentuk masyarakat bersatu padu, menghormati perbezaan dan berkongsi identiti sebagai rakyat Malaysia. 

"Negara bangsa tidak bermaksud menafikan kepelbagaian budaya, agama atau adat resam sebaliknya ia satu usaha menyatukan semua perbezaan di bawah payung identiti nasional,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya di Dewan Negara hari ini.

Saraswathy berkata KPN juga bercadang menganjurkan Persidangan Negara Bangsa Progresif peringkat kebangsaan tahun ini, selain melaksanakan transformasi dengan tumpuan diberikan kepada empat ikhtiar utama mencapai agenda perpaduan iaitu Ekosistem Perpaduan, Inisiatif Harmoni MADANI, Eksplorasi Rukun Negara dan Komuniti Sosiobudaya.

“Program-program yang dirangka dan akan dilaksanakan di bawah semua ikhtiar itu merupakan medium bagi KPN untuk memperluas dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

“Kementerian juga telah melancarkan Inisiatif Harmoni MADANI yang memperkenalkan konsep asas integrasi nasional iaitu asas integrasi nasional iaitu Faham, Hormat, Terima,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 730 program berteraskan perpaduan, jati diri, kenegaraan, sukarelawan, pembangunan komuniti dan warisan budaya telah dilaksanakan oleh agensi di bawah KPN tahun lepas.

Sementara itu, Saraswathy berkata dua pendekatan digunakan bagi menangani perkara yang dirasa akan atau boleh menggugat keharmonian kaum iaitu pendekatan reformasi dan punitif.

“Kementerian sentiasa mengguna pakai pendekatan reformasi dengan segera menegur pelaku serta meminta pelaku membuat permohonan maaf atas kesalahannya dan mendidiknya melalui perkhidmatan mediator komuniti.

“Jika pendekatan reformasi ini gagal, tindakan tegas berdasarkan undang-undang boleh diambil. Sesiapa dengan sengaja melakukan apa-apa perbuatan, mencetuskan atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang menggugat perpaduan kaum dan agama boleh disiasat dan didakwa mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan