AM

J-KOM Terus Perkasa Peranan Sebar Dasar Kerajaan - KP

13/03/2025 10:32 PM

IPOH, 13 Mac (Bernama) -- Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) memperkasakan peranannya dalam menyebarkan maklumat berhubung dasar kerajaan menerusi program Ih’ya Ramadan Berkat Musyawarah Malaysia MADANI Bekerja di enam zon di seluruh negara.

Ketua Pengarah J-KOM Datuk Ismail Yusop berkata enam zon itu melibatkan Alor Setar, Kedah (utara); Ipoh, Perak (tengah); Muar, Johor (selatan); Temerloh, Pahang (timur); Sabah, dan Sarawak.

“Saya ingin tegaskan di sini bahawa J-KOM adalah antara agensi di bawah Kementerian Komunikasi yang berfungsi sebagai agensi sosial politik yang menjaga, menyampaikan maklumat serta menerangkan tentang dasar-dasar kerajaan kepada komuniti.

“Sebagai contoh, sekarang ini berlaku liberalisasi maklumat apabila media sosial menjadi dominan seterusnya membentuk persepsi masyarakat dan sekiranya tiada agensi yang turun memberikan maklumat betul ia akan dimanipulasikan,” katanya ketika ditemui media pada program itu hari ini.

Beliau berkata sekiranya manipulasi maklumat berlaku dalam kalangan masyarakat, ia akan menyebabkan ketidakstabilan politik di negara ini.

Justeru, menjadi peranan pihaknya menjelaskan kepada komuniti dengan menggunakan tiga pendekatan iaitu taat setia, membangunkan Malaysia MADANI, dan rakyat.

“Sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka kita kena menentukan (hala tuju negara), ia bukan tanggungjawab Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim seorang, tetapi tanggungjawab rakyat … melalui taat setia itu.

“Kedua, macam mana nak membangunkan Malaysia MADANI? Kami di J-KOM menggunakan pendekatan MADANI bekerja, jadi kita turun berjumpa dengan komuniti dan yang akhir sekali ialah kita nak jadikan MADANI ini gelombang rakyat sebab saya tahu mereka (rakyat) ada yang memerlukan bantuan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan