EKONOMI

Capital A Tumpu Penstrukturan Semula, Tiada Perancangan Dividen Setakat Ini - CEO

10/03/2025 06:49 PM

SEPANG, 10 Mac (Bernama) --  Capital A Bhd tiada perancangan pembayaran dividen dalam masa terdekat susulan syarikat memberi keutamaan kepada usaha penstrukturan semula dan pengurangan hutangnya, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tony Fernandes.

Beliau berkata keutamaan Capital A pada waktu ini iaitu membayar hutang yang ditanggung semasa pandemik COVID-19, khususnya dalam segmen penerbangannya sebelum mempertimbangkan sebarang agihan dividen.

"Keutamaan saya untuk menyelesaikan hutang yang ditanggung semasa COVID-19. Setelah kami menyelesaikannya, barulah kami akan melihat kepada dividen yang dijangka mengambil masa antara tiga hingga empat tahun," katanya pada sidang media selepas majlis Capital A - Next Chapter di sini hari ini.

Kali terakhir Capital A membayar dividen pada tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2019 iaitu sebanyak 90 sen sesaham dan kini sedang menjalani penstrukturan semula besar-besaran untuk keluar dari status Nota Amalan 17 (PN17).

Syarikat dijangka menyelesaikan proses tersebut menjelang Mei 2025, bergantung kepada kelulusan pemegang saham dan Mahkamah Tinggi.

Fernandes menekankan sebarang keuntungan yang dijana akan dilaburkan semula ke dalam perniagaan kumpulan vertikal yang sedang berkembang termasuk Teleport dan Santan selain bukannya diagihkan kepada pemegang saham.

"Sebarang keuntungan, kami akan melaburkannya semula sama seperti yang kami lakukan dengan Teleport dan Santan," katanya.

Fernandes juga berkata keputusan untuk menahan dividen pada waktu ini menegaskan strategi Capital A untuk memperkukuh kedudukan kewangannya sebelum menyambung pembayaran kepada pemegang saham.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan