KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Seiring dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab digital serantau, TNB terus menyokong infrastruktur penting bagi sektor ini.
Setakat suku pertama 2025, TNB telah menyalurkan bekalan tenaga kepada 21 pusat data dan memeterai 43 perjanjian bekalan dengan jumlah kapasiti sebanyak 6.4GW, mengukuhkan peranannya sebagai pemacu utama transformasi digital dan perindustrian negara.
Selain itu, pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar US daripada RM4.73 pada Mac 2024 kepada RM4.44 pada Mac 2025 turut membantu mengurangkan tekanan ke atas kos bahan api dan perbelanjaan modal serta memberi impak positif kepada kadar pertukaran asing, ia mengukuhkan lagi kedudukan kewangan TNB.
“Fokus TNB adalah untuk mengekalkan prestasi stabil, pada masa sama mencipta nilai jangka panjang kepada para pemegang saham.
“Melalui pengurusan kos berhemah, penyampaian perkhidmatan dijamin dan komitmen jelas terhadap pembangunan negara, kami terus menawarkan nilai yang konsisten walaupun berdepan cabaran global berterusan.” kata Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Seiring dengan usaha domestik, TNB terus mengembangkan portfolio tenaga boleh baharu di peringkat antarabangsa menerusi pembangunan projek solar hijau pertamanya di Eastfields dan Bunkers Hill, United Kingdom, dijangka mula beroperasi pada suku kedua 2025.
Projek ini merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang TNB untuk memperoleh pulangan dalam mata wang asing dan menyokong agenda peralihan tenaga global.
TNB komited untuk memacu kemajuan dengan memberi impak sosial positif kepada komuniti melalui peruntukan satu peratus daripada keuntungan selepas cukai (PAT) bagi menyokong pembangunan komuniti merangkumi aspek sosial, pendidikan, alam sekitar dan sukan.
Dalam suku pertama 2025 sahaja, TNB telah menyalurkan lebih RM45 juta bagi melaksanakan pelbagai inisiatif berpaksikan rakyat di seluruh negara.
Berteraskan kemajuan ini, prestasi TNB bagi suku pertama 2025 mencerminkan pelaksanaan yang tertumpu dan berkesan terhadap keutamaan operasi sambil memastikan pertumbuhan yang inklusif dan selari dengan aspirasi negara.
“Kekuatan kewangan bukan matlamat akhir, sebaliknya menjadi landasan untuk kami memberi impak yang bermakna kepada rakyat.
“Ketika kami memodenkan grid dan memperluaskan portfolio tenaga boleh baharu, kami turut memberi tumpuan untuk memastikan tiada komuniti tercicir. Inilah teras utama misi kami, membawa kemajuan yang mampu memanfaatkan seluruh rakyat Malaysia,” kata Megat Jalaluddin.
TNB kekal komited untuk menjana nilai jangka panjang dengan mengimbangi kecemerlangan operasi dan pembangunan negara yang berwibawa serta berfokus.
Sementara itu, Pengerusi TNB Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid berkata: “Melangkaui pembekalan tenaga, TNB komited untuk membangunkan generasi masa depan melalui pendidikan.
“Program-program kami mencerminkan pelaburan jangka panjang dalam komuniti yang kami berkhidmat, memastikan tiada anak yang tercicir dalam perjalanan Malaysia ke arah ekonomi berasaskan ilmu yang lebih inklusif,” katanya.
Pelaburan strategik ini merangkumi keperluan masyarakat yang lebih meluas, antaranya Inisiatif Pendidikan, Ceria ke Sekolah, Ihya Ramadan, Agihan Zakat Wakalah. Sokongan Kesihatan, Bantuan Bencana, Sokongan kepada Komuniti Orang Asli. Pembangunan Sukan Negara.
Untuk Inisiatif Pendidikan, lebih RM36 juta telah disalurkan melalui tajaan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Yayasan Tenaga Nasional (YTN), memberi manfaat kepada lebih 20,000 pelajar di seluruh negara.
Selain itu, hampir RM4 juta telah disalurkan kepada lebih 14,000 penerima asnaf, merangkumi Projek Baiti Jannati, baik pulih dan pendawaian semula rumah, bantuan kepada golongan fakir dan miskin serta sumbangan Fisabilillah termasuk penambahbaikan masjid dan surau, sokongan kepada pusat pendidikan dan bantuan umum lain.
Bagi Sokongan Kesihatan, hampir RM300,000 diperuntukkan untuk memberi manfaat kepada 2,560 individu termasuk sumbangan peralatan kepada Hospital Rehabilitasi Cheras dan Hospital Pakar USM, bantuan pesakit di Hospital Sultan Zainal Abidin serta inisiatif oleh Pertubuhan Prihatin dan Sokongan Kanser Wanita serta sambutan Hari Kanser Sedunia 2025.
Sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan komuniti jangka panjang, TNB telah memperluaskan Program Sekolah Angkat TNB secara signifikan, merangkumi 50 buah sekolah di seluruh negara berbanding 36 sebelum ini.
Dengan pelaburan sekitar RM2.3 juta, program ini menyediakan intervensi bersasar meliputi sokongan akademik, pembelajaran digital, naik taraf infrastruktur serta pembangunan kokurikulum.
Program itu ialah Confirm AI bersama UNITEN (10 sekolah), Trust School for Peer Assisted Learning And Sharing (PALS) (enam sekolah), TNB Thunder Bolts (tujuh sekolah), PINTAR TNB bersama Yayasan Pintar (13 sekolah) dan Sekolah Angkat MADANI (14 sekolah).
Usaha berterusan ini mencerminkan komitmen TNB untuk membina Malaysia yang bersedia menghadapi masa depan, di mana kemajuan digerakkan bukan sahaja oleh tenaga yang boleh dipercayai dan mampan tetapi juga dengan peluang inklusif yang memperkasa komuniti, membina generasi akan datang dan mengukuhkan jalinan sosial negara.
Melalui tumpuan berterusan terhadap kecemerlangan operasi dan pelaburan semula yang berfokus, TNB kekal teguh dalam usahanya untuk memberi impak, melangkaui penyaluran tenaga.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial