JOHOR BAHRU, 13 Feb (Bernama) -- Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) akan mengeluarkan Permintaan Untuk Cadangan (RFP) bagi Projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) bertingkat di Johor Bahru dalam masa terdekat.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata ini berikutan pembentangan perancangan pembinaan ART bertingkat oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) di Kabinet pada Disember tahun lepas.
Beliau berkata Kabinet juga telah mengarahkan UKAS di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk memanggil RFP.
“RFP ini maksudnya kita mahu kerjasama dengan pihak swasta melalui konsep Kerjasama Awam Swasta (PPP). Jadi ini yang kita hasratkan untuk laksanakan dengan cepat.
“Oleh itu, RFP akan dipanggil UKAS dalam masa terdekat. Hasrat kita memang untuk bina ART bertingkat. RFP ini akan dinilai dahulu dan apabila kita buat keputusan nanti itu baru ia akan disahkan,” katanya kepada ketika ditanya mengenai status projek ART bagi menyokong perkhidmatan Rapid Transit System Link (RTS Link) Johor-Singapura.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Pembangunan Hartanah di Bukit Chagar antara Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan Sunway Integrated Properties Sdn Bhd di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata sejajar hasrat Kerajaan Negeri Johor, projek ART bertingkat yang membabitkan pembinaan jejambat serta lorong khusus untuk membolehkan pelaksanaan sistem pengangkutan yang lebih mudah dan cepat.
“Kebaikannya ia bukan sahaja khusus untuk ART namun boleh digunakan sebagai laluan bas secara bercampur berbanding Projek Transit Aliran Ringan (LRT) yang landasannya untuk satu sistem sahaja.
“ART bertingkat ini konsepnya laluan bas campur dengan rel, jadi lebih fleksibel. Ia sistem pengangkutan yang diperlukan Johor Bahru malah pembinaan ART bertingkat ini menjadi hasrat kerajaan negeri ini,” katanya.
Loke berkata tempoh pembinaan ART bertingkat itu juga dijangkakan lebih singkat berbanding LRT yang mengambil masa antara lima ke tujuh tahun.
Sebelum ini, kerajaan Johor dilaporkan telah mencadangkan pelaksanaan ART bertingkat bagi mengatasi kesesakan di pusat bandar raya ini yang semakin kritikal.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata cadangan itu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.
Pemilihan sistem ART itu bagi membolehkan ia melengkapi RTS Link yang dijadualkan beroperasi pada Januari 2027.
Projek RTS Link membabitkan rangkaian rel sepanjang empat kilometer menghubungkan Stesen Bukit Chagar di sini dengan Stesen Utara Woodlands di Singapura.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial