KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) telah mengenal pasti 139 tapak tanah dengan keluasan keseluruhan 1,228.95 hektar yang berpotensi untuk pembangunan semula, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata berdasarkan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) dan Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (DPTKL2040) semua tapak tersebut merupakan kawasan yang berpotensi dijadikan perumahan mampu milik apabila dibangunkan semula pada masa akan datang.
“Bagi memastikan sasaran ini tercapai, DPTKL2040 telah memperkenalkan Zon Guna Tanah Kediaman 4 (R4), iaitu zon khusus bagi pembangunan rumah mampu milik termasuk perumahan awam dengan keluasan 354.47 hektar,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) yang ingin tahu keluasan tanah milik Persekutuan dan DBKL yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai rumah mampu milik serta rancangan jangka pendek dan panjang bagi tujuan tersebut.
Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata perumahan mampu milik juga dirancang di zon pembangunan kediaman berintensiti tinggi, zon perdagangan, dan zon pembangunan bercampur dengan tambahan keluasan 253.39 hektar, melibatkan semua jenis kategori rumah mampu milik dan bukan Residensi MADANI serta Program Perumahan Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) sahaja
Dr Zaliha berkata perancangan tersebut tidak hanya tertumpu kepada tanah kerajaan tetapi turut mengambil kira penyertaan sektor swasta, selaras dengan kelulusan dan komitmen yang telah diberikan bagi tempoh hingga 2040.
“Sebagai langkah proaktif dan inisiatif kreatif untuk memastikan perumahan mampu milik dapat diakses oleh golongan yang memerlukan, DPTKL2040 turut menyenaraikan enam tapak bagi Perumahan Awam Sewa Bersubsidi (PASS) untuk B40 dan M40 di atas tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya.
Selain itu, beliau turut memaklumkan sebanyak 80,000 unit Residensi MADANI dan Rumawip dirancang untuk dibina dalam tempoh 10 tahun (2018-2028).
“Setakat ini, 91 peratus daripada sasaran tersebut berjaya dicapai dengan 72,864 unit telah siap dibangunkan melalui 101 projek di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan.
“Kejayaan ini bukan berlaku secara kebetulan tetapi hasil campur tangan strategik kerajaan yang sentiasa mengadaptasi penyelesaian kreatif bagi memastikan pembangunan rumah mampu milik dapat direalisasikan,” katanya.
Sementara itu, Dr Zaliha berkata DBKL juga akan mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan untuk merealisasikan pembangunan sekolah dengan konsep menegak di sekitar Kuala Lumpur.
Beliau berkata berkata cadangan itu bagi memenuhi keperluan tanah terhad dan pertambahan penduduk di Kuala Lumpur serta menjadi ibu kota sebagai centrally located school.
“Konsep ini digunakan secara meluas di Australia dan ia dibina secara konvensional, merangkumi padang serta blok bangunan dipadatkan menjadi sekolah dua blok antara 10 hingga 17 tingkat.
"(Pembinaan sekolah konsep menegak) ini (dibuat) tanpa kita mengorbankan elemen penting dalam pelajaran, sukan dan rekreasi selain ia memanfaatkan ruang atas bumbung," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Onn mengenai bagaimana kementerian ingin merealisasikan kemudahan asas seperti sekolah dan dewan di kawasan Kuala Lumpur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial