AM

Keselamatan Perairan Selat Melaka Terkawal - APMM

20/02/2025 11:08 AM

PUTRAJAYA, 20 Feb (Bernama) -- Keselamatan perairan Selat Melaka berada dalam keadaan terkawal hasil rondaan dan operasi penguatkuasaan berterusan selain kerjasama serantau yang kukuh dengan negara jiran, kata Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah.

Beliau berkata APMM tidak menerima sebarang laporan berkaitan insiden ancaman di Pantai Remis, Perak seperti didakwa dalam beberapa laporan media semalam. 

"Sebaliknya, kejadian dilaporkan itu merupakan kes pemerasan oleh pihak tidak bertanggungjawab dari negara jiran terhadap Vesel Nelayan Tempatan (VNT) di kawasan kelabu perairan Selat Melaka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rosli berkata pihaknya sentiasa memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia melalui inisiatif seperti rondaan bersama dan eksesais khas di perairan Selat Melaka setiap tahun.

Kerjasama itu berjaya mengurangkan pelbagai ancaman terutamanya jenayah rentas sempadan, katanya.

Semalam, media melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Remis Wong May Ing berkata nelayan di Pantai Remis berdepan ancaman lanun dari Indonesia yang didakwa semakin berleluasa kebelakangan ini. 

Kenyataan itu juga memaklumkan rekod penguatkuasaan APMM dari 2006 hingga 2024 menunjukkan 16,259 kes tangkapan dilakukan melibatkan pelbagai kesalahan di laut.

APMM juga berjaya menggagalkan pencerobohan Vesel Nelayan Asing (VNA) sepanjang tempoh itu dengan menahan 1,789 VNA bersama 15,162 kru di perairan negara.

Mohd Rosli juga memberi jaminan rondaan dan pemantauan akan terus diperhebat bagi memastikan perairan negara selamat daripada ancaman jenayah maritim.

Komuniti nelayan diseru untuk memastikan sistem trafik perkapalan (VTS) diaktifkan sepanjang masa selain pemilik vesel menyediakan pengesan lokasi individu (PLB) bagi mengesan vesel jika berlaku kecemasan dan memasang kamera litar tertutup bagi merakam kejadian tidak diingini ketika di laut.

Beliau turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat atau aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan perairan negara terus terjamin.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan