Daripada Nik Nurfaqih Nik Wil
MANAMA (BAHRAIN), 20 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beberapa kerjasama yang dibincangkan dalam lawatan rasmi pertamanya ke Bahrain termasuk berkaitan teknologi kewangan dijangka dimeterai sebelum Mei ini.
Beliau berkata tumpuan diberikan antaranya kepada teknologi kewangan Islam yang dipersetujui kedua-dua pihak perlu dibangunkan dengan beberapa instrumen canggih.
“Selama ini kita hanya menciplak cadangan-cadangan instrumen bank konvensional.
“Tetapi kita harus ke hadapan, melalui penyelidikan teliti, memahami tentang keperluan peraturan Syariah dan Maqasid Syariah dan menjamin supaya institusi ini dapat menjadi lebih kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengakhiri lawatan rasmi ke Bahrain atas jemputan Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Bahrain Salman Hamad Al Khalifa.
Perdana Menteri akan berlepas pulang ke ibu negara, 5 petang waktu tempatan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata tumpuan turut diberikan terhadap bidang pendidikan yang menjadi antara prasyarat bagi negara untuk meningkatkan keupayaan dalam bidang teknologi kewangan, digital dan peralihan tenaga.
“Maka kita putuskan soal bidang penyelidikan dan pendidikan itu perlu diberi diberi keutamaan. Ini saya percaya hal (teknologi kewangan Islam dan pendidikan) yang boleh kita laksanakan dalam masa singkat,” katanya.
Ketika lawatan itu, Anwar turut menghadap Putera Mahkota Bahrain dan Raja Bahrain Raja Hamad Isa Al Khalifa.
“Saya sempat berbual panjang dengan Putera Salman, (dalam) kunjungan, mesyuarat dua hala, dan diikuti majlis santapan, tetapi semua majlis ini dimanfaatkan untuk berbincang dalam bidang fintech melalui kerjasama bank, industri dan pelaburan, bidang teknologi maklumat, digitalisasi, pelancongan, kesalinghubungan, keterjaminan makanan, tenaga dan tenaga boleh baharu serta pendidikan.
“Sebelum baginda (Putera Salman) hadir (melawat Malaysia), insya-Allah dalam Mei ini kita harap beberapa kerjasama boleh dimeterai dan beri manfaat kepada rakyat dan pelajar-pelajar kita, dan mudah-mudahan pada Mei kita dapat tingkatkan pelaksanaannya,” katanya.
Beliau berkata Malaysia juga berhasrat mempelajari usaha Lembaga Pembangunan Ekonomi Bahrain yang mengubah wajah Bahrain sehingga menjadi pusat kewangan rantau.
Anwar juga berkata Bahrain Economic Development Board (EDB) juga sedia untuk menjadi pemudah cara kepada mana-mana syarikat Malaysia untuk melabur di negara itu serta menjadi penghubung dengan negara-negara Timur Tengah.
“Kami turut membincangkan soal mata wang kripto iaitu Malaysia meminta untuk mendengar pengalaman Bahrain dalam mengendalikan perkara ini.
“Kita harus saling mempelajari kerana semua negara yang mencatat kemajuan itu bergerak dalam langkah jauh lebih pesat, kepesatan inilah membolehkan negara itu maju dan kita belajar daripada pengalaman rakan-rakan kita dan mereka juga akan menimba manfaat daripada pengalaman kita,” katanya.
Ketika menghadap Raja Hamad di Istana Sakhir di sini, Anwar berkata Raja Bahrain menzahirkan rasa ambil berat terhadap usaha meningkatkan kerjasama dua hala antara Malaysia dan negara Asia Barat diteruskan dalam semua bidang yang perlu.
“Baginda juga menyokong langkah diambil Malaysia termasuk dalam menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta Sidang Kemuncak ASEAN-GCC+ China akhir Mei nanti,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial