LABUAN, 23 Feb (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM454.88 juta untuk membaiki dan penambahbaikan sistem bekalan air sepanjang 106.7 kilometer (km) di Labuan yang menyaksikan 37 km atau 35 peratus daripada projek itu sudah pun siap.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata kerja-kerja berkenaan membuahkan hasil positif dan aduan gangguan bekalan air berkurangan sebanyak 46 peratus berbanding pada 2023.
“Kemajuan ini menunjukkan bahawa inisiatif itu berada di landasan yang tepat, menurut pegawai yang terlibat,” katanya dalam ucapan di Karnival Wilayah Persekutuan Kita peringkat Labuan di Kompleks Sukan Laut di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Datuk Noridah Abdul Rahim.
Selain itu, dua projek ladang solar di Tanjung Kubong dan Kampung Bukit Kalam dengan kapasiti gabungan 15 megawatt siap sepenuhnya dan menyokong keperluan harian bekalan elektrik di pulau itu yang secara purata mencecah 70 megawatt.
Beliau berkata satu lagi perkembangan penting iaitu cadangan pembinaan Jambatan Labuan-Menumbok yang disifatkannya sebagai ‘pengubah keadaan’ untuk pulau itu dan bakal memberikan limpahan manfaat bagi Sabah.
“Dalam Belanjawan 2025 baru-baru ini, RM3 juta telah diperuntukkan kepada Kementerian Kerja Raya untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan projek itu.
“Kajian sebelum ini dianggap sudah ketinggalan zaman dan tidak mencukupi untuk keperluan perancangan pada masa sekarang … kajian baharu itu mesti mempertimbangkan keperluan sebenar penduduk Labuan bukan sekadar aspek teknikal,” kata Dr Zaliha.
Beliau juga menyentuh mengenai beberapa perkembangan dalam sektor pengangkutan, termasuk peningkatan kekerapan penerbangan AirAsia untuk laluan Kuala Lumpur-Labuan, dan perkhidmatan feri ekspres baharu antara Labuan dan Kota Kinabalu yang akan mula beroperasi tidak lama lagi.
Beliau berkata pegawai kanan daripada Jabatan Wilayah Persekutuan dijadual bertemu Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji di Kota Kinabalu bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan Labuan, termasuk terminal feri ekspres.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial